Kasih Bertaut

fahdin

Petang itu kelihatan suram sesuram hati Rizman yang sedang leka merenung jauh ke luar tingkap. Dia ingin menghirup udara segar setelah lebih sejam menghadap buku. Angin petang dari halaman lembut menyapa wajahnya. Sesekali pandangannya singgah mengekori beberapa ekor bangau yang sedang terbang menuju ke rimbun nipah yang tumbuh di tebing sungai tidak jauh dari situ. Barangkali bangau itu sedang membawa rezeki untuk anaknya yang masih merah. Awan mendung berarak dari utara menandakan petang itu mungkin akan hujan seolah-olah memahami gelora di hatinya.

Rizman tidak berfikir panjang dan terus menutup bahan bacaannya itu kerana dia sedar bahawa hatinya bukan di situ. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah dibacanya dari tadi. Apa yang pasti tiada satu pun yang masuk dalam kepalanya. Mata lelaki itu terus menangkap beberapa ekor bangau lain yang sedang meredah remang senja yang disimbahi cahaya mentari jingga. Dia kagum. Kagum dengan kekuasaan tuhan.

Sekilas dia melepaskan keluhan sebelum pandangannya beralih kembali kepada bukunya tadi. Kosong. Dia sudah tidak bernafsu lagi untuk membaca buku tersebut saat itu. ‘Nantilah aku baca.’ Bisik hatinya. Pandangannya beralih semula ke luar tingkap merenung ke dada langit yang kian kelam dihiasi kerlipan bintang yang masih malap. Sesekali pandangannya terhalang oleh langsir organza biru laut yang ditiup angin senja dari laman. Matanya tercari-cari rembulan yang sepatutnya mengambil alih tugas mentari. Tiada. Mungkin masih awal lagi.

Dia tahu kenapa hatinya tidak begitu tenang untuk membaca. Semuanya gara-gara teringatkan peristiwa yang berlaku beberapa hari lalu. Kalau boleh Rizman mahu tinggalkan jauh-jauh perkara itu., Namun semakin hari, semuanya semakin sebati dan terus berselirat di dalam benaknya. Sebagai anak sulung, dia tersepit antara maruah keluarga dan pengorbanan. Rizman melepaskan sedikit keluhan. Terlalu berat rasanya mengimbau semua itu.

“Mak tak kira. Mak tetap tak nak Aiman kahwin dengan perempuan tu.” Tinggi suara emaknya memecah suasana di dalam rumah banglo setingkat itu sambil menghempaskan punggungnya ke atas sofa berwarna merah hati di tengah ruang tamu. Aiman yang berdiri sambil bersandar di dinding ruang tamu sekadar membisu. Dia tidak berani bersuara sepatah pun. Anak bongsu itu tahu emak akan menyokongnya.

“Tapi mak...” Rizman diam sejenak. Mencari sedikit kekuatan untuk meneruskan kata-katanya. “Kalau Aiman tak kahwin, keluarga perempuan tu akan hebohkan perkara ini. Keluarga kita juga yang dapat malu.” Rizman cuba menjelaskan kebenaran. Abah sekadar menjadi pemerhati drama antara keluarga itu.

“Mak tahu, Aiman tak buat semua tu. Mak yang lahirkan Aiman. Mak tahu siapa Aiman.” Emak tetap berkeras dengan pendiriannya. Mempertahankan anak emasnya itu. Tanpa dia sedari, anak emas itulah yang menyusahkan seluruh keluarga. Menjatuhkan nama baik keluarga. “Perempuan tu yang nak fitnah keluarga kita.” Emak bukan saja tegar dengan pendiriannya bahkan mencipta satu tuduhan baru.

“Kalau sudah usung anak dara orang merata-rata sampai perut berisi, itu pun boleh dikata baik lagi?” Pedas kata-kata abah yang dari tadi hanya berdiam diri meningkah tuduhan isterinya. Dia mengambil tempat betul-betul menghadap wanita lewat 40-an itu. Diamnya adalah berfikir. Emak terdiam kematian kata namun sempat mencebik tanda protes. Begitu juga dengan Aiman. Kata-kata abah tadi betul-betul kena pada batang hidungnya. Mata abah tajam menembusi pandangan Aiman. Aiman tunduk takut. Mungkin dia mula sedar bahawa dia terpaksa berkahwin dengan perempuan itu.

Bagi emak pula lain. Dia tetap tidak mahu Aiman berkahwin. Muktamad . Dengan apa cara sekalipun, dia tetap akan mencari jalan supaya Aiman tidak berkahwin dengan perempuan itu. “Kalau Aiman berkahwin dengan perempuan itu, mak akan pergi dari rumah ni. Mak tak kira.” Emak benar-benar tekad dengan ugutannya. Bermakna, itu adalah kata dua.

Seisi keluarga memandang emak seakan meminta suatu kepastian. Aiman juga begitu. Selebihnya hatinya gembira kerana sudah tentu dia akan selamat daripada berkahwin jika emak tetap berkeras dengan ugutannya. Mana mungkin keluarganya merelakan emak meniggalkan rumah banglo itu.

Namun begitu, lain pula pada Rizman dan abah. Ugutan emak terlalu mendesak. Mereka tersangkut antara kata dua. Bersetuju bermakana mereka merelakan pemergian emak. Menolak bermakna mereka akan menjatuhkan maruah keluarga. Mereka benar-benar tersepit antara kedua-duanya. Sama-sama penting. Mereka bukannya tidak tahu perangai emak. Jika dia berkata dan berkeras untuk melakukan sesuatu, bermakna dia betul-betul akan melakukannya. Tidak kira sama ada perbuatannya itu salah ataupun tidak.

Pernah suatu ketika dulu emak mengugut bahawa dia tidak akan makan jika abah menghantar Aiman ke sekolah berasrama semasa Aiman masuk tingkatan satu. Dan emak benar-benar tidak makan beberapa hari apabila abah tetap berkeras menghantar Aiman ke sekolah berasrama. Akhirnya abah terpaksa beralah dengan membawa Aiman pulang. Sejak dari peristiwa itu, perangai Aiman menjadi-jadi.

Suasana ketika itu lengang seketika. Seisi rumah bungkam menyusun kata. Emak dengan pendiriannya yang begitu radikal. Aiman sejak tadi membisu. Rizman dan abah tersepit antara dua kepentingan. Untuk apa lagi bersuara kalau sudah tiada cara penyelesaiannya.

Sebagai anak sulung, Rizman tercabar dengan tanggung jawabnya. Antara maruah dan keluarga, yang mana lebih penting. Rizman benar-benar tidak dapat berfikir. Tangannya memicit dahinya yang tidak sakit. Dia tertekan. Mahu sahaja dia menerkam adiknya Aiman kerana terlalu geram. Mujurlah kewarasan dan kesabaran masih ada untuk membatasinya.

Dia sedar kesabarannya sudah hampir sampai ke kemuncaknya. Dengan kekuatan yang senipis kulit bawang, dia cuba untuk bertahan. Selebihnya dia beristighfar untuk mencari sedikit kekuatan. Dia tahu emaknya sudah seperti orang hilang akal. Berfikir hanya dengan nafsu. Sehinggakan tindakan adiknya yang seperti orang bodoh pun masih disokong.

Rizman cuba menangkap wajah abah. Tenang. Dia tahu abah sedaya upaya menyembunyikan kegusarannya. Bencana jiwa yang melanda tebing hati tuanya ditanggung sendirian. Sudah tentu abah lebih tertekan darinya. Dia kemudian mengalihkan pandangan menangkap raut adiknya namun segera dipalingkan pandangannya kerana dia bimbang kesabarannya hilang melihat wajah perosak keluarganya itu. Sungguh menyakitkan hati.

Sehingga saat ini, tiada seorang pun yang bersuara. Emak membatu sekeras tekadnya. Sesekali wanita itu mengisar punggungnya untuk membetulkan kedudukannya yang kurang selesa. Aiman menikus dengan kesalahannya. Abah tenang setenang hening malam. Rizman diam namun hatinya penuh dengan bicara. Geram dengan sikap emaknya. Bengang dengan tindakan adiknya. Segalanya teradun sebati dalam dadanya yang kian sendat dengan pelbagai masalah yang datang bertali arus.

Rizman sedar mungkin pengorbanannya dituntut untuk menyelesaikan masalah ini. Bukanlah niatnya untuk mengambil alih tugas abah sebagai ketua keluarga. Bukan juga untuk menafikan kepimpinan abah. Namun saat itu dia sedar abah seakan hilang idea untuk menyelesaikan masalah ini. Apa salahnya jika dia yang mencari jalan untuk menyelesaikannya. Semuanya untuk kepentingan dan masa depan keluarga juga.

“Mak, abah.” Perkataan pertama yang keluar dari mulut Rizman sekali gus memecah kebungkaman yang sekian lama mengisi ruang rumah itu. Tiga pasang mata merenung tajam wajah anak sulung itu menanti patah kata yang seterusnya.

“Man tahu Man bukanlah anak yang terbaik untuk mak dan abah. Man sedar Man dibesarkan oleh arwah Tok Munah. Man hanya tinggal bersama keluarga kita dalam rumah ini ketika Man berusia 13 tahun. Itupun setelah Tok Munah meningal dunia,” kata-kata Rizman terhenti seketika. Tiga pasang mata itu masih tidak beralih merenungnya. Masih menanti patah kata seterusnya.

“Tapi Man bersyukur sangat. Tuhan masih satukan kita sekeluarga. Mak, abah. Biarlah Man yang berkorban. Biar Man yang berkahwin dengan perempuan tu demi maruah dan keluarga kita.” Rizman melepaskan keluhan berat seberat keputusan yang dibuat. Mata abah membulat seakan tidak percaya. “Man rela. Kalau pengorbanan ini dapat membalas jasa baik mak dan abah selama Man tinggal di sini.”

Dadanya terasa sesak. Ini sahaja jalan yang dia ada. Dia sedar bahawa pengorbanannya ini benar-benar akan menekannya. Jiwa dan seluruh hidupnya. Bagaimana dia ingin jelaskan semua ini kepada tunangnya yang amat dicintai? Gadis yang setia menanti janji bersama sehidup semati dimeterainya. Gadis yang menerima dirinya seadanya.

Sanggupkah dia melukakan hati gadis yang tidak berdosa itu? Kuatkah dia untuk melihat air mata yang mengalir dari wajah kekasihnya itu? Adilkah dia menghukum tunangnya dengan kesalahan orang lain? Persoalan-persoalan inilah yang menyesakkan dadanya.

Tidak cukup dengan itu, masa depannya pasti tidak ketentuan. Bahagiakah dia jika hidup bersama di bawah satu bumbung dengan gadis yang langsung tidak pernah dikenali apatah lagi dicintai? Relakah dia menasabkan anak darah daging adik kandungnya sendiri dengan namanya?

Rizman betul-betul tersungkur dengan ujian ini. Dia sendiri bingung apakah salah dan silapnya sehingga dia terpaksa menanggung semua ini. Hatinya merintih hiba. Menangis. Matanya berkaca namun dia tetap bertahan. Dia perlu kuat menanggung keputusannya sendiri. Hanya Tuhan yang tahu dan memahami rintih hatinya saat itu.

Rizman merenung lantai mencari sedikit kekuatan. Dia terlalu lemah saat itu. Hatinya serapuh kaca yang retak, cuba ditahan daripada pecah berderai. Dia tahu abah cuba memahami dan menyelami hatinya. Dia tahu emak puas setelah kehendaknya tercapai. Dia juga tahu hati Aiman melonjak riang kerana tidak perlu menanggung hukuman atas kesalahan sendiri.

Apa yang pasti, dia tahu tiada siapa di antara mereka yang dapat membaca keperitan hatinya. Peraturan dunia tidak pernah adil. Terutamanya apabila peraturan itu dibuat untuk kepentingan sendiri. Mungkin peraturan Tuhan lebih tepat. Hukuman-Nya lebih adil. Biarlah Dia yang menentukannya kelak.

Azan maghrib yang berkumandang menyentuh gegendang telinga Rizman lantas membawanya kembali ke alam nyata. Rizman bingkas menuju ke bilik air untuk berwuduk. Dia mahu ke surau untuk solat berjemaah.

Ombak keresahan yang menghempas pantai hatinya cuba dicampak jauh ke tepi. Selebihnya dia berharap Tuhan akan memberi ketenangan dan kekuatan dalam jiwanya serta membantunya menjalani hidup yang mendatang dengan lebih tabah. Dimulakan dengan nama Allah dan niat, wajahnya basah dengan air wuduk. Dalam kedinginan air wuduk itu Rizman terasa sedikit bahang air dari kelopak matanya.


( cerpen ini penulis siapkan pada februari 2008 )

Labels: edit post
0 Responses

Post a Comment