Kasih Bertaut

fahdin

Ayahanda, maafkan anakanda ini. Agak lama anakanda tidak menjenguk pusaramu. Anakanda akui kesibukan membataskan anakanda mengunjungi pusaramu. Entah bersih entahkan tidak. Atau pun lalang mungkin sudah melangit. Namun anakanda tidak pernah sekalipn melupakan ayahda.

Anakanda akan kirimkan segugus doa buat ayahanda setiap kali selepas solat. Paling tidak anakanda akan sedekahkan al-Fatihah tatkala hati ini teringatkanmu.Anakanda sentiasa berharap dan bermohon kepada Allah agar ayahanda dijauhkan dari siksa kubur, dilapangkan dan disimabah cahaya di alam barzah. Semoga ayahanda dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.

Ayahanda, Syawal lalu anakanda sempat mengambil sedikit masa bersama adik beradik yang lain dan mak untuk menziarahimu. Anakanda tidak pasti ayahanda sedar ataupun tidak kerana kita sudah berada di alam yang berbeza. Jauh di sudut hati berharap agar ayah gembira dengan kunjungan kami.

Ayahanda, sedar atau tidak, sudah lebih 4 tahun kami menjalani hidup tanpamu di sisi. Tempoh itu bukanlah sekejap, namun dirimu terasa seakan-akan ada di segenap hati kami. Senyummu dan tawamu membuatkan kami turut tersenyum dan tertawa ketika mengenangkanmu. Air matamu turut mengundang airmata kami tatkala mengenangkan sikap dan perilakumu dihari-hari terakhir sebelum pemergianmu.



Ayahanda, sejak pemergianmu, sudah banyak perubahan belaku di sini. Ada yang mengembirakan dan ada yang menyedihkan. Pertamanya anakanda telah berjaya melunaskan janji anakanda untuk memperoleh keputusan yang terbaik dalam SPM. Walaupun agak terkilan kerana tidak sempat menunjukkannya kepadamu, anakanda tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya Emak masih ada untuk berkongsi segala kegembiraan.

Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya mak ketika anakanda menghubunginya untuk mengkhabarkan berita gembira itu. Betapa tersentuhnya hati anakanda apabila mak sempat memberitahu anakanda bahawa ayahanda langsung tidak ke ladang dan langsung tidak membawa pekerja kilang dengan vanmu selama sebulan hanya kerana ingin menghadiahkan solat hajatmu demi kejayaan anakanda dan abang Ali yang kebetulan menganbil STPM serentak dengan ankanda. Tidak mampu rasanya anakanda untuk bayar kepayahan dan kesanggupanmu demi melihat kami berjaya.

Ayahanda, Kehidupan kami sekeluarga semakin baik dan semakin bermakna. Sejak ayahanda tiada, keluarga sering berkumpul hujung minggu. Cuma anakanda dan angah saja yang jarang balik ke kampung kerana batasan jarak dan waktu.

Anakanda kini sudah melanjutkan pelajaran anakanda di menara gading. Inilah yang anakanda, ayahanda dan keluarga harap-harapkan. Kamal juga bakal mengetahui keputusan STPM tidak lama lagi. Aziz yang bongsu sudah besar dan lebih tinggi dari yang lain. Abang Ali lebih berisi si dari yang lain. Makan gaji agaknya. Enjang masih dalam pengajiannya.

Ayahanda, Keluarga kita semakin besar. Kakak dengan 3 anaknya yang meningkat ramaja. Angah sudah mempunyai 4 orang anak. Alang sudah berkahwin dan memiliki 2 orang cahaya mata yang comel dan nakal. Bemakna bilangan cucu ayahanda sudah ledih daripada bilangan anak-anakmu.

Ayah, permintaanmu sedang anakanda usahakan. Anakanda yakin dan percaya bahawa inilah berkat doamu ketika hayatmu dan kesungguhan mu dalam didikan yang penuh dengan hikmah. Walaupun anakanda akui pernah memberontak demi sebuah kebebasan. Namun hari ini anakanda sedar bahawa apa yang ayahanda lakukan adalah demi kebaikan semua.

Anakanda masih teringat kata-kata yang sering ayahanda ungkap tatkala bercerita tentang agama. Ayahanda sering akui ayahanda tidak terlalu bijak untuk mendidik kami semua tentang agama, dan kerana itulah ayahanda menghantar kami ke sekolah beraliran agama. Ayahanda juga pernah berkata bahawa ayahanda tidak begitu mengharapkan anak-anak yang berjaya dalam kerjaya. Namun jika itu yang boleh dikecapi, maka adalah satu anugerah yang berharga. Apa yang Ayahanda harapkan adalah supaya kami semua menjadi manusia yang berakhlak mulia dan berpegang dengan agama.

Ayahanda jangan bimbang dengan mak. Akhir-akhir ini keluarga kita sering dihiasi dengan air mata gembira dan kesyukuran. Sehingga hari ini, anakanda masih dalam fasa perjuangan untuk mengotakan harapan dan impian ayahanda untuk menjadi pendidik yang berbakti kepada bangsa dan agama.

Ayahanda. Jauh di sudut hati, anakanda akui bahawa anakanda terlalu rindukan ayahanda. Andai air mata ini mengalir jatuh ke pipi, anakanda berharap agar air mata ini menjadi doa semoga ayahanda bahagia di sana. Anakanda bersyukur kepada Allah kerana dilahirkan ke dunia sebagai anakmu. Semoga kita berkumpul semula di syurga. Salam rindu, salam sayang, salam doa dari anakanda yang rindukan ayahanda.

Labels: edit post
1 Response
  1. KamalZakaria Says:

    ayahanada jgn risau...kami anak lelaki akan menjaga ibu...kami tidaklah kaya...kami tidaklah terlalu bijaksana...tapi kami tahu erti persaudaraan....tanggungjawab terhadap ibu x kan kami lepaskan...kami akan hadiahkan ibu dengan air mata kegembiraan...


Post a Comment