Kasih Bertaut

fahdin


Bismillah...

Alhamdulillah hari ini aku sempat meniggalkan entri dalam blog ini. Maklumlah, kesibukan membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester menuntut aku untuk mencatu sedikit masa terluang. Hari ini aku sekadar ingin berkongsi sedikit pandangan aku setelah membuat pemerhatian secara tidak formal terhadap kerenah dan tabiat rakan-rakan ketika menghadapi musim peperiksaan. Ada beberapa golongan yang aku dapat kesan:


Pertama, golongan yang suka bangun malam untuk solat dan menyambung ulang kaji yang terhenti. Golongan ini ada yang sememangnya konsisten walaupun diluar musim peperiksaan (istiqamah). Tak kurang juga yang hanya bangun malam pada musim peperiksaan saja. Namun pada aku, sekurang-kurangnya golongan ini masih meletakkan harapan dan kepercayaan kepada Allah untuk membantu.

Kedua, Golongan yang biasa saja. Study dan solat pada waktu solat. Masih boleh lihat muka-muka golongan ini di surau. Mereka akan rehat pada waktunya, beriadah dan tidur. Seperti hari-hari sebelumnya. Golongan ini aku lihat sebagai golongan yang cool dan sempoi.

Ketiga, Golongan yang terlalu sibuk dengan buku dan nota sampai solat di bilik t
idak seperti sebelumnya ( solat di surau). Kadang-kadang solat mereka pun di akhir waktu, itupun solat dalam keadaan tergesa-gesa. Mungkin masih banyak yang belum dibaca. Pada aku golongan ini masih mengharapkan Allah tapi tidak begitu bergantung sepenuhnya.

Keempat, Golongan yang mengabdikan diri dengan nota-notanya. Lapa waktu solat, lupa tuhan, lupa makan, lupa tidur, tak terurus dan segala-galanya. Jangan sangka golongan inni tidak ada. Memang ada. Percayalah. Pada aku, golongan ini lebih percaya pada kemapuan diri. Dan aku rasa golongan ini yang paling kuat frust apabila tidak berjaya mencapai target dalam peperiksaan.

Kelima, Golongan ini hanya tahu tidur, makan, dan main game. Sati
ap hari mereka hanya berkisar dengan 3 aktiviti ini. Exam? Mereka tak ada jiwa dengan exam. Dapat soalan mereka jawab. Betul ke, salah ke, itu semua lainn cerita. Golongan ini pada aku memang dah menghidapi penyakit yang paling susah untuk diubati. Hantarlah dokktor pakar daripada mana pun. MALAS!

Namun sebagai manusia, kita tidak seharusnya lari dari rasa kebergantungan kepada Allah. Mintalah padaNya,nescaya Dia akan perkenankan. Jika setelah kita berusaha dan berdoa, tapi kita masih tidak berjaya, itu tak bermakna kita gagal ..... Tetapi kejayaan yang ditangguhkan. Percayalah. Allah tidak akan mensia-siakan usaha dan doa hambaNya.


Doakan kejayaan kami


P/S : Anda rasa anda termasuk dalam golongan yang mana?
fahdin
Gambar kenangan bersama adik-adik usrah di belakang dewan peperiksaan
sewaktu hari peperiksaan percubaan SPM Syariah, 2004.
Adik-adik waktu itu baru di tingkatan 2


Sesekali senang rasanya apabila dapat menyendiri. Lepas segala tugas dan kerenah sekeliling. Sesekali rasanya perlu juga menyendiri. Terasa begitu selesa dengan sebuah mug berisi jus mangga yang sejuk di tangan. Sesekali mata meliar meratah segenap ruang bilik. Tiba-tiba mata menagkap sebuah kotak hitam di atas almari lama milik emak yang hampir di buang kerana emak telah membeli almari baru yang lebih besar.

Masakan tidak, alamari yang ada itu sudah terlalu uzur dengan usianya yang hampir mencecah tiga puluh tahun. Alamari yang penuh dengan kenangan. Entah kenapa hati terdetik untuk melihat apa yang terkandung dalam kotak hitam tersebut. Dengan gerak hati, tangan mencapai kotak tersebut lalu dibuka.

Sebuah buku memo sebesar tapak tangan berwarna hijau gelap dan beberapa keping kertas berwarna ungu. Bibir terus mengukir senyum. Lama rasanya tidak melihatnya. Lebih empat tahun. Barang-barang ini membawa aku kembali ke masa silam. Menghampar lembaran yang mustahil untuk diulangi. Juga mustahil untuk dilupakan.

Mata ini menangkap ungkapan yang tertulis di atas kertas ungu tersebut. Satu per satu dibaca. Ada lapan kesemuanya. Mulut sekali lagi mengukir senyum. Mata yang bulat menjadi sedikit sepet di tarik pipi ketika bibir melebar melakar garis senyum. Bahagia tapi rindu. Rindu kepada mereka yang menulis ungkapan tersebut.

Diri terbawa jauh ke alam yang lalu. Ketika masih di sekolah menengah. Rindu itu menyakitkan. Sukar untuk terubat. Rindu pada teman boleh bertemu. Tapi jika rindu masa lalu bersama teman, begitu sukar untuk dilafazkan. Begitulah rasa hati saat ini. Bagaimanakah mereka sekarang? Berjayakah mereka? Gembirakah mereka?

Kita boleh ada sejuta teman di dunia ini tapi kita tidak akan dapat yang sama setiap satunya. Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi yang berganti itu tidak sama dengan yang hilang. Itulah hakikat. Dan kerana hakikat inilah kita menjadi matang. Matang dengan hubungan. Matang dengan masa silam. Matang dengan perasaan. Matang dengan rasa hati.

Kematangan itu perlu. Kematangan juga tak boleh dipelajari. Kematangan mesti dilalui. Banyak mana kita lalui banyak pengalaman yang mematangkan jiwa dan perasaan. Jiwa yang matang kadang-kadang memenatkan. Memendam rindu dendam. Tak terluah. Sukar untuk dikongsi.

Tak tahulah aku nak gambarkan perasaan sekarang. Seakan sedih. Ada juga gembira. Aku sudah semakin dewasa. Tidak seperti empat tahun lalu. Kerana empat tahun lalu adalah sebahagian kematangaan dalam diri ini. Kematangan yang membuatkan diri ini boleh berdiri. Namun kadang kala aku tetap tewas dengan masa yang membawa jauh zaman silam ke belakan. Tak terkejar kerana masa depan sentiasa datang. Zaman silam semakin jauh. Mungkin ada bibit-bibit yang telah aku lupa. Bukan sengaja tetapi terlupa.


Acik : Apa khabar agaknya adik Rumal, Salleh, Azmi, Ismail, Amirul, Alif, Ghazi dan sape ye sorang lagi. Harap-harap semua dalam keadaan baik dan lebih berjaya. Semoga dipertemukan Allah suatu hari nanti. Amin....
fahdin


Pendidikan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah swt. Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah.

Dengan asas pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad saw telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu besar di tengah padang pasir yang panas terik.

Demikian juga keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan ancaman maut. Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa pendidikan akidah amat penting dalam jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekali.

Matlamat dan Objektif Pendidikan Akidah

1) Mengakui keesaan Allah swt

Matlamat utama pendidikan akidah Islam ialah mendidik manusia supaya mengakui keesaan dan ketunggalan Allah swt sebagai tuhan yang wajib disembah. Tiada sekutu bagiNya. Ini dijelakan oleh Allah swt dalam firmanNya yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) Dia ialah Allah Yang Maha Esa. Allah menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa yang setara denganNya?” (al-Ikhlas : 1-4)

Ayat di atas mendidik manusia supaya mengaku keesaan dan kekuasaan Allah swt. Ayat ini diturunkan di Makkah di awal perkembangan Islam. Oleh kerana akidah merupakan asas kepada kekuatan dan pembinaan Islam sebagai al-Din maka wahyu-wahyu yang terawal yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw menjurus kepada pendidikan Akidah bagi menanam keyakinan yang teguh dalam jiwa manusiatentang keesaan Allah swt.

2) Melahirkan manusia yang patuh dan tunduk kepada Allah swt

Pendidikan akidah juga penting untuk mendidik manusia supaya patuh dan tunduk kepada kebesaran dan keagongan Allah swt.

3) Membentuk keperibadian insan

Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti yang dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya. Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah swt di muka bumi ini.

Menurut Mohd Sulaiman Yasin (1987), Akidah Islam ialah akidah yang bersumberkan ketuhanan (akidah Rabbaniyyah) yang tetap, syumul, menyeluruh dan fitrah. Tabiat akidah yang demikian ialah akidah yang kukuh dan teguh. Hanya akidah yang teguh sahaja dapat membentuk manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan keteguhan akidah ialah kerana kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi kandungan akidah itu, yang merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan, hakikat alma semesta dan hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan. Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber kekuatan Islam. Itulah hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya.

Di dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk dan dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh kental dan luar biasa. Kita lihat sahaja kepada Bilal, bahawa akidah telah memberikan kekuatan kepadanya. Abdul Rahman bin Auf dan Osman bin Affan sanggup membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam sehingga tiada apa lagi yang dimiliki melainkan Allah swt dan Rasul. Ali bin Abi Talib sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah saw dan banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw hasil dari pendidikan akidah yang mantap.


fahdin



Tahun 1998,

Hari makin kelam. Bunyi riuh ayam di reban sudak mula reda. Barangkali masing-masing sudah mendapat tempat berteduh . Di luar mulai gelap. Di dalam rumah pula sudah terang menderang.

Aku melangkah lambat-lambat ke bilik air sambil dibototi adikku. Dalam bilik air aku sempat berkata sesuatu kepada adik ku dengan nada sedikit berbisik.

" Mal, amik wuduk lambat-lambat. Biar ayah solat dengan mak ngan abang dulu. Kite solat dalam bilik."

"Tapi nanti ayah marah."

"Solat dengan ayah lambat. Nanti citer kat tv habis."

"Ok jom."

Dari bilik air aku sempat mendengar emakku memanggil supaya cepat. Itu tandanya ayah sudah bersedia untuk solat. Adik aku seakan serba salah. Akulah orang yang berperanan meyakinkannya. Setelah terdengar suara ayah melaung takbir, baru aku dan adikku selesaikan wuduk kami.

Dengan langkah yang perlahan, aku dan adik aku menyelinap masuk ke dalam bilik dan menunaikan solat tidak seperti hari-hari yang lalu. Biasanya akan berimamkan ayah. Namun malam itu kami agak berani solat sendirian di dalam bilik.

Selepas solat kami berlari untuk menonton kartun kegemaran yang sering kami tertinggal permulaannya sebelum ini. Rasa puas meresap jauh ke dalam hati. Inilah kali pertama dapat menonton kartun dari permulaan.

Sedang asyik menonton tiba-tiba telingaku dan adikku dipiat ayah. Adeh!!! Sakit gile. Maghrib itu ayah membebel panjang. Hilang kegembiraan aku menonton kartun saat itu. Dari jauh aku melihat abangku menjuihkan bibirnya sambil berkata sesuatu sebelum ketawa. Walaupun suaranya tidak kedengaran, tapi aku faham maksud kata-katanya melalui gerak mulutnya (padan muka).

Leteran ayah masih panjang. Mak sudah di dapur. Mungkin dia tidak mahu masuk campur saat itu. Leteran ayah hanya berhenti apabila dia keluar untuk belajar kitab di rumah Us. Ismail. Yang aku ingat di akhir leteran ayah ialah " lain kali tulis apa yang ayah cakap ni. Biar kamu ingat sampai ayah tak de nanti."

Setelah ayah keluar baru mak memainkan peranannya. Emak lebih memujuk. Selebihnya dia mahu aku dan adikku mendengar apa yang ayah pesan.


Oktober 2009,

Sudah lebih sepuluh tahun berlalu. Aku masih ingat peristiwa seperti ini. Ada sesuatu yang aku lupa. Menulis apa yang ayah aku pesan. Ayah sudah pun tiada. Allah lebih sayangkan dia. Aku yakin dia akan mendapat tempat terbaik di sisinya. Dan hari ini aku baru menulis apa yang sepatutnya aku tulis lebih sepuluh tahun lalu.






Kepada Ayah,

Aku bersyukur dilahirkan sebagai darah dagingmu.

Terima kasih atas didikan mu yang amat bermakna itu.

Dan kerana didikanmu aku menjadi manusia seperti hari ini ....

Terima kasih Ayah


Terima kasih Allah kerana kerana memberi aku ayah sepertinya.
fahdin

Bila menyentuh teori-teori yang berkaitan dengan kepimpinan, kita sering melirik kepada teori herarki Maslow yang menekankan keperluan manusia dalam mencapai tingkat keperluan yang lebih tinggi. Teori Maslow adalah teori motivasi yang melihat bahawa manusia mempunyai tingkat keperluan dalam kehidupan dan tingkat keperluan ini perlu diisi dari bawah sebelum mencapai tingkat keperluan yang seterusnya.


Tingkat keperluan tersebut ialah kesempuarnaan fisiologi, kesempurnaan keselamatan, kesempurnaan sosial, kesempurnaan harga diri dan yang tertinggi ialah kesempurnaan kendiri. Ini bermakna menurut Maslow, manusia perlu memenuhi tingkat kesempurnaan fisiologi terlebih dahulu sebelum mencapai tingkat yang seterusnya.


Namun jika kita melihat kepada persoalan dasar merujuk kepada teori ini, adakah kesempurnaan harga diri ini perlu menuggu kesempurnaan fisiologi, keselamatan dan sosial terlebih dahulu? Sedangkan manusia dari kelompok mana sekalipun akan meletakkan harga diri sebagai unsur yang utama. Jangan hanya kerana demi memenuhi keperluan fisiologi, keselamatan dan sosial, manusia sanggup menggadaikan harga diri demi memenuhi keperluan yang kononnya secara bersturktur ini.


Jika kita berbalik kepada sejarah Islam. Bilal Bin Rabah tidak menghiraukan keselamatannya demi harga diri sebagai seorng muslim dan harga Islam itu sendiri. Begitu juga ketika Umat Islam di Mekah yang mengalami proses pemboikotan ekonomi selama 3 tahun. Dalam riwayat Ibnu Ishak menyatakan bahawa hanya daun-daun dan pucuk kayu sebagai makanan umat Islam sepanjang tempoh itu. Namun adakah mereka tergugat dengan pendirian mereka?


Sebagai manusia khususnya yang beragama Islam, sebenarnya terdapat satu lagi keperluan yang melekat dengan setiap tingkat keperluan lain iaitu keperluan kesempurnaan spiritual. Keperluan ini yang menjadikan proses manusia untuk memenuhi keperluan mereka adalah berlandaskan proses yang lebih baik dan bersistem.


Manusia akan memenuhi setiap tingkat keperluan mereka dengan bimbingan dan batasan kesempurnaan spiritual. Berbalik kepada perkaitan kepimpinan dan teori herarki Maslow ini. Seandainya perjalanan proses untuk mencapai kesempurnaan ini tidak diiringi dengan kesempurnaan spiritual maka sewajarnya kita akui berlakunya pelbagai masalah dalam kepimpinan dan kepemimpinan.


Bukti mudah: unsur rasuah dalam pimpinan, pimpinan korupsi , bermuka-muka dan banyak lagi salah laku dalam kepimpinan ini adalah satu reliti apabila manusia cuba memenuhi tingkat kesempurnaan tanpa diiringi kesempurnaan spiritual sebagai guru yang mengajar dan mendidik diri.


Dan kerana itu, setiap teori tidak pernah akan sempurna untuk tempoh berabad sekalipun dan kerana itulah teori-teori seperti ini akan perlu sentiasa diperbaharui. Walaubagaimanapun teori Maslow ini sangat berguna dalam melihat keperluan mustahak manusia untuk mencapat kesempurnaan. Keperluan ini amat bermanfaat dalam meniggikan motivasi kerja dan kepimpinan dalam kehidupan seharian manusia.






faden : Kawan-kawan sila tinggalkan pandangan anda untuk manfaat bersama. Artikel ini agak longgar isinya. Maka saya nantikan kritikan yang lebih nyata terhadap teori Maslow ini. Terima kasih.
fahdin
Skrip ini tiada pengarangnya
Babak ini tiada pengarahnya
Tangisan ini bukan kerana dipaksa
Darah ini bukan cecair pewarna
Mati ini bukan sekadar lena
Ini bukan lakonan
Ini bukan lakonan
Ini bukan lakonan










fahdin



Perjalanan ini sungguh memenatkan. Apa tidaknya,makin ke hujung semakin sukar. Sedangkan beban bertambah berat. Tanggungjawab semakin sarat. Tetapi apakah ada pilihan lain selain meneruskannya? Hidup selagi hidup. Jangan mati sebelum mati. Sering diri diperingatkan, kalau ada masalah di tengah jalan…. teruskan perjalanan. Apabila yakin tujuan dan matlamat tidak sesat,soal kembali ke pangkal jalan tidak timbul. Ini jalan paling benar, walaupun jalan yang paling sukar. Inilah jalan yang paling singkat, walaupun terasa amat berat.



Hidup tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu. Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik. Nafas dan aliran adalah modal untuk ibadah. Susah dan payah adalah baja yang membina kematangan jatuh bangun diri menuju Allah. Sabar dan syukur adalah minyak pada pelita hidup yang meliuk lentuk dipukul badai kehidupan.



Tidak gusar bersendirian. Tidak tersasar ketika kesunyian. Katakan pada diri, ketika sepi sendiri, di sisimu sentiasa ada PEMERHATI. Dalam sekolah kehidupan, sentiasa ada pelajaran yang mesti ditempuhi. Sesetengah ilmu tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Tidak ada guru tertentu, tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepenuh waktu. Jika datang topeng kepura-puraan, itulah guru yang mengajar kau erti berhati-hati. Jika mampir bejana kejujuran, kau teguklah ilmu keikhlasan.



Jangan berubah pendirian,walau beralih pendekatan. Jadilah wajah yang satu di hadapan yang SATU. Jadilah dirimu sendiri…. Insya-Allah kau akan sentiasa menjadi juara. Tetapi kau berlakon, kau bertukar menjadi klon yang kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan bermuka-muka hanya untuk menempa nama. Jangan berdiri di bawah teduh bayang-bayang orang lain hanya untuk digelar berjasa.



Bertatih dengan kaki sendiri lebih mulia daripada bersayap emas milik orang lain. Jadilah raja dalam kerajaan diri yang menghirup udara kebebasan dengan kemerdekaan sejati. Mendongak tidak bongkak, mengalah tidak kalah. Tidak ada istilah kalah, Cuma kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan masa lampau setelah diperah segala pengajaran dan iktibar. Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan kini. Menyesal itu bebal, Kesal itu bekal.



Hidup seperti orang yang bersedia untuk mati. Insya-Allah, nanti kau akan terus hidup walaupun sesudah mati. Ingatkan diri selalu, bahawa hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya Hari Akhirat. Sesungguhnya, hidup sebelum mati ini adalah bekal untuk hidup selepas mati. Katakan pada diri, hidup bukan sekali. Jadi, hiduplah selagi hidup…. Kerana hidup ini hakikatnya untuk HIDUP !






Renungan ini : Kiriman Ibtisam Nur melalui emailnya untuk perkongian bersama