Kasih Bertaut

fahdin

Pengenalan

Segala yang ada di bumi ini hanyalah sementara. Tidak ada yang kekal melainkan Dzat yang menciptakan seluruh alam ini. Lihatlah pepohon yang menghijau dan bebunga yang mekar berkembang. Semuanya akan berakhir dengan kemusnahan. Pepohon akan kekuningan, layu dan berguguran daunnya. Bunga yang mekar juga seperti itu. Lihatlah bumi dengan pasakkan gunung yang gagah dan lautan luas terbentang. Semua ini tidak menjamin kepada kekekalan. Akhirnya, semuanay pasti akan tunduk dengan kehadiran saat yang maha dahsyat itu, iaitu qiamat.

Firman Allah di dalam surah Ar-Rahman ayat 26 – 27


Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.”[1]

Firman Allah di dalam surah Az-Zalzalah ayat 1 – 5


“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), Dan bumi Telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya, Dan manusia bertanya: "Mengapa bumi (menjadi begini)?", Pada hari itu bumi menceritakan beritanya, Karena Sesungguhnya Tuhanmu Telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.”[2]

Perhimpunan Manusia

Kiamat tidak dapat untuk dibayangkan dengan apapun jua. Ini adalah kerana manusia langsung tidak pernah melaluinya sebelum ini. Namun manusia wajib beriman dengan rukun iman yang ke lima ini. Banyak peristiwa yang akan berlaku menjelang hari Qiamat nanti. Peristiwa-peristiwa ini banyak diceritakan dan digambarkan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi SAW.

Di dalam kitab Ihya Ulumiddin, juzuk yang ke empat terkandung perkara yang begitu jauh dari pandangan dan pengetahuan manusia yan disebut sebagai ‘Ribu’ al-Muhlikat’. Imam Ghazali ada menceritakan tentang manusia yang telah dibangkitkan semula dari kubur-kubur mereka selepas tiupan sangkakala yang ke dua. Kebangkitan ini melibatkan seluruh manusia yang mati sejak zaman Nabi Adam hinggalah manusia terakhir selepas alam buana ini meghadapi saat Qiamat. Dan seluruh entity manusia ini dipertemukan semula sekalian ruh dengan jasad yang baru.

Apabila manusia dibangkitkan dengan bilagan yang langsung tidak dapat digambarkan, sudah tentu memerlukan suatu hamparan bumi untuk dipijak dan dikumpulakan. Maka mereka ini Allah kumpulkan di sebuah hamparan yang bernama Padang Mahsyar. Namun tumbul persoalan adakah bumi Mahsyar itu sama dengan bumi yang ada pada hari ini?

Di dalam kitab Ihya Ulumiddin, Imam Al-Ghazali menghuraikan tentang suati hamparan atau dataran yang maha luas, saujana mata memandang. Keadaan buminya putih dan rata, tiada gunung-ganang atau pepohon yang dapat dijadikan tempat berteduh di sebalik bayangnya. Tiada juga lurah atau gua yang boleh dijadikan tempat untuk didiami.

Pada dataran putih itu, manusia yang baru dibangkitkan dihalau ke sana seperti binatang ternakan yang dihalau keluar dari kandangnya tambahan pula dalam keadaan tanpa Seurat benang pun di tubuh yang melindungi aurat masing-masing. Ada sesetengah kitab yang menyatakan manusia pada ketiaka itu juga dalam keadaan tidak bersunat.

Siti Saodah, Isteri Nabi SAW ketika mendengar peristiwa dahsyat tentang keadaan manusia yang dibangkitkan dan dikumpulkan di Mahsyar, lantas beliau bertanya kepada baginda. “ Ya Rasulullah, tidakkah manusia merasa malu apabila dihimpunkan di bumi Mahsyar dalam keadaan telanjang bulat tanpa pakaian?”

Jawab Rasulullah SAW, “Oleh kerana terlalu gawat menghadapi hari perhimpunan di Mahsyar, manusia terlupa dirinya yang tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing.”

Allah SWT berfirman di dalam surah ‘Abasa ayat 37:


“ Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” [3]

Imam Al-Ghazali ketika mengulas mengenai suasana hari kebangkitan itu menyatakan betapa dahsyatnya apabila kita berdepan dengan hari yang seluruh aurat kita terdedah. Walaupun begitu, manusia tidak ambil peduli lagi kerana manusia pada ketika itu dibangkitkan dengan pelbagai cara.

Abu Hurairah berkata bahawa beliau telah mendengar pada suatu hari ketika Rasulullah berpidato di hadapan para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud :

“ Manusia di akhirat kelak akan dikumpul dalam tiga bentuk. Sekumpulan manusia sebaik saja dibangkitkan di bumi Mahsyar sudah tersedia kenderaan untuk mereka, semntara sekumpulan lagi dibangkitkan dengan berjalan kaki, sementara satu kumpulan lagi berjalan dengan keadaan mukanya tetungging ke tanah.”

Kemudian, seorang daripada sahabat bertanya kepada Nabi SAW: “Bagaimanakah caranya manusia berjalan dengan menugging mukanya ke tanah?”

Maka Nabi SAW menjawab: “Allah SWT yang berkuasa mencipta hambaNya berjalan dengan kaki dan Allah jua yang berkuasa menciptakan hambaNya berjalan dengan muka ke tanah.”

Walaupun bumi Mahsyar mempunyi keluasan yang tidak terukur, namun tidak ada ruang kosong melainkan penuh sesak dengan manusia dan jin. Sesungguhnya makhluk Allah terdiri daripada manusia dan jin sejak Nabi Adam hingga kiamat dan jumlahnya tidak dapat dihitung apatah lagi semuanya dibangkitkan serentak.

Lautan Keringat

Dalam suasana kelam- kabut dan hiruk-piruk, tiba-tiba Allah menerbitkan matahari yang musnah semasa tiupan sangkakala pertama dan kali ini dengan kepanasan luar biasa yang berlipat kali ganda berbanding kepanasan matahari yang pernah dinikmati manusia di dunia sebelum itu. Dan Allah menurunkan matahari itu serendah-rendahnya di atas kepala dengan jarak lebihh kurang dua busar anak panah. [4]

Ketika itu tidak ada pohon untuk berlindung dari panas matahari tersebut kecuali bayangan ‘Arasy’. Meskipun begitu, tidak seua orang dapat bernaung di bawah bayangan Arasy tersebut. Hanya golongan tertentu sahaja yang layak bernaung di bawah bayangan Arasy tersebut.

Imam Ghazali menyatakan bahawa ada golongan yng dijemput oleh Allah untuk bernaung di bawah bayang Arasy Allah. Sebaliknya ada juga golonganyang terus terdedah dengan kepanasan mentari yang maha dahsyat dan berselirat dengan kepanasan hati yang mengutuk diri atas kelalaian semasa di dunia dahulu.

Dalam kepanasan yang maha dahsyat itu, manusia mula mengalirkan keringat atau peluh yang mengalir dari tubuh manusia sehingga bumi mahsyar pada hari itu dilanda banjir peluh yang berbau hanyir mengakibatkan bumi mahsyar menjadi lecah. Banjir peluh dan air mata menenggelami manusia mengikut kadar dosa dan kesalahan masing-masing. Ada yang banjir separas lutut, ada yang separa pinggang, ada yang separas hidung dan tidak kurang juga yang tenggelam dek lautan peluh tersebut.[5]

Bagi mereka yang telah mengalirkan keringat dan air mata di dunia demi ketaatan kepada Allah dan dalam perjuangan keranaNya, maka di bumi Mahsyar mereka tidak lagi mengalirkan keringat seolah-olah mereka sudah kekeringan keringat semasa hayat mereka di dunia.

Tempoh Masa Di Bumi Mahsyar

Dalam kekalutan itu, mnusia mula tertanya-tanya berapa lamakah mereka mesti berada di dataran Mahsyar tersebut, namu tidak seorang pun tahu. Perit getir di bumi Mahsyar membuatkan manusia terasa begitu lama mereka berada di situ. Namun merekatetap membisu kerana tiada tempat untuk mengadu. Mereka merasa sangat lapar tanpa sebutir pun makanan yang mengisi perut mereka dan begitu dahaga tanpa setitis airpun yang membasahi tekak mereka. Malah sama sekali mereka tidak merasakan walau sedikit hembusan angin untuk kelegaan mereka.

Ada yang berdiri terpacak tanpa bergerak. Ada juga yang berdiri dengan kepala dibawah. Mereka berkeadaan demikian selama 300 tahun dalam kiraan akhirat. Perkiraan masa ini tidak lagi diukur dengan peredaran matahari. Sesaat pun manusia sudah tidak sanggup menaggung panas mentari inikan pula 300 tahun.

Saiyidina Hasan r.a. menjelaskan bahawa satu hari di akhirat bersamaan dengan 50 000 tahun di dunia. Setahun mengandungi 365 hari didarabkan dengan 50 000 tahun dan didarabkan lagi dengan 300 tahun akhirat, ini bermakna manusia berdiri di bumi Mahsyar selama kira-kira lebih lima ribu juta tahun.[6] Keadaan manusia yang berhimpitan di bumi Mahsyar telah Nabi gambarkan seolah-olah anak panah yang disumbatkan ke dalam bakul.

Rayuan Penghuni Mahsyar

Di kala bersepitan itu, tiba-tiba Allah perintahkan seluruh penghuni Mahsyar supaya berpaling ke arah neraka. Inilah arahan pertama Allah selepas membiarkan manusia selama 300 tahun kiraan akhirat. Tidak dipedulikan unutk tempoh itu saja sudah merupakan satu azab kepada mereka inikan pulah diarahkan berpaling ke arah neraka yang apinya menjulang tinggi. Dengan arahan itu, tidak ada seorangpun yang dapat berpaling melainkan mereka yang mendapat rahmat Allah.

Sedang mereka dahaga, dating malaikat Zabaniah membawakan air untuk mereka. Pada mulanya mereka bergembira , tetapi malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air itu didekatkan dengan mulut manusia, lantas daging mereka luruh berguguran dek kepanasan air yang tidak dapat digambarkan darjah kepanasannya.

Ketika itu kedengaran dikalangan mereka berkata: “Tidak adakah di kalangan kita yang boleh mengadu dengan Tuhan supaya disegerakan hukuman?”

Ada juga tedengar suara di kalangan ahli Mahsyar yang memberikan cadangan agar berjumpa dengan nabi. Ketika itu kebanyakan para nabi enggan menerima rayuan mereka sambil berkata: “Bahawa hari ini masing-masing membawa diri. Urusan aku terlalu banyak sehingga tidak sempat untuk aku memikirkan orang lain. Hari ini adalah hari bagi Tuhan memperlihatkan kemurkaanNya, belum pernah Tuhan marah sedahsyat hari ini.”

Akhirnya mereka berjupa dengan Nabi SAW dan meminta agar diri mereka diberi syafaat. Nabi SAW memberikan syafaatnya sebagaimana yang dijanjikannya tetapi hanya kepada orang-orang yang tertentu sahaja yang pernah mengikat janji dengan Allah dengan keimanan yang tinggi beserta amal soleh. Nabi didizinkan oleh Allah sebagaimana yang disebut di dalam Surah Thaahaa ayat 109:


“Pada hari itu tidak berguna syafa'at[*], kecuali (syafa'at) orang yang Allah Maha Pemurah Telah memberi izin kepadanya, dan dia Telah meridhai perkataannya.” [7]

[*] Syafa'at: usaha perantaraan dalam memberikan sesuatu manfaat bagi orang lain atau mengelakkan sesuatu mudharat bagi orang lain. syafa'at yang tidak diterima di sisi Allah adalah syafa'at bagi orang-orang kafir.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Kepada orang mukmin yang menanggung sengsara kerana beriman dengan Allah, maka dia akan diringankan seperti lebih ringannya dia melakukan solat fardhu semasa di dunia.

Perbicaraan Tanpa Juru Bahasa

Yang dimaksudkan perbicaraan tanpa juru bahasa bererti did ala mahkamah Allah kelak, Allah SWT sendiri yang akan menjadi hakim yang mengadili setiap perbicaraan. Perbicaraan ain amat teliti sehingga sekecil-kecil perkara sekalipun tidak akan terlepas dari dibicarakan. Terlalu cermat mahkamah Allah sehingga tidak ada keraguan atau kezaliman terhadap keputusan yang diterima oleh setiap manusia yang didakwa.

Sementara menuggu seorang demi seorang disebut di mahkamah Allah, sudah pasti begitu banyak masa yang diperlukan. Bayangkanlah betapa laa masanya seseorang individu menuggu giliran masing-masing setelah melalui tempoh masa 300 tahun akhirat sebelum itu.

Di saat manusia sedang bermandi peluh bahana dosa yang menimbun, dan berenang di lautan air mata penyesalan, tiba-tiba turunlah para malaikat dengan tubuh yang sebesar raksasa, masing-asing membawa buku amalan dengan pandangan mata yang menggerunkan memerhati setiap manusia, siapa yang ditentukan dibicarakan dahulu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Adapun malaikat yang dating di hari kiamat itu ukuran jarak antara dua kelopak matanya ialah perjalanan seratus tahun.”[8]

Apabila turun segala malaikat it dari segenap penjuru, maka tidak ada yang terkecuali walau seorang nabi melainkan semua tersungkur, mereka juga tidak terkecuali dari merasai kegerunan itu kerana sangat takut dan bimbang kalau diri mereka yang akan ditunjuk oleh malaikat tersebut.

Kemudian seluruh malaikat yang raksasa itu berdiri melingkungi lautan manusia di dataran Mahsyar itu. Ketika itu perasaan manusia semakin tertekan kerana terlalu cemas. Maka bermulalah saatnya bahawa Tuhan akan menyoal sekalian manusia yang talah diutuskan kepada mereka para rasul, sebagaimana firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 6-7:


Maka Sesungguhnya kami akan menanyai umat-umat yang Telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan Sesungguhnya kami akan menanyai (pula) rasul-rasul (Kami). Maka Sesungguhnya akan kami kabarkan kepada mereka (apa-apa yang Telah mereka perbuat), sedang (kami) mengetahui (keadaan mereka), dan kami sekali-kali tidak jauh (dari mereka).” [9]

Manusia akan disoal sama ada telah sampai nabi yang diutus kepada mereka atau perkhabaran dan ajaran nabi kepada mereka, tidakkah para nabi yang diutuskan itu menyampaikan wahyu Allah yang mengandungi ajaran yang lengkap, serta perkhabaran tentang hari akhirat tempat segala amalan dihitung.

Dan para nabi disoal apakah mereka telah menyampaikan semua wahyu Allah kepada umat manusia. Justeru diulangi soalan itu dikemukakan, tidak seorang pun yang terlepas. Dan hasil perbicaraan inilah manusia akan ditentukan sama ada akan mendapat nikmat syurga ataupun mendapat siksaan neraka.



[1] Tafsir pimpinan Ar_rahman, Surah Ar-Rahman, ayat 26- 27

[2] Ibid., Surah Az-Zalzalah, ayat 1-5

[3] Ibid,. Surah ‘Abasa, ayat 37.

[4] Tuan Guru Nik Abdul Aiz Nik Mat, Air Mata Mahsyar, Dewan Muslimat sdn. bhd., 1998, h. 10.

[5] Ibid., Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, h. 11.

[6] Ibid., Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, h. 14.

[7] Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Surah Thaahaa, ayat 109.

[8] Op.cit.,Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, h. 22.

[9] Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Surah Al-A’raaf, ayat 6-7

Labels: 0 comments | edit post
fahdin

Petang itu kelihatan suram sesuram hati Rizman yang sedang leka merenung jauh ke luar tingkap. Dia ingin menghirup udara segar setelah lebih sejam menghadap buku. Angin petang dari halaman lembut menyapa wajahnya. Sesekali pandangannya singgah mengekori beberapa ekor bangau yang sedang terbang menuju ke rimbun nipah yang tumbuh di tebing sungai tidak jauh dari situ. Barangkali bangau itu sedang membawa rezeki untuk anaknya yang masih merah. Awan mendung berarak dari utara menandakan petang itu mungkin akan hujan seolah-olah memahami gelora di hatinya.

Rizman tidak berfikir panjang dan terus menutup bahan bacaannya itu kerana dia sedar bahawa hatinya bukan di situ. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah dibacanya dari tadi. Apa yang pasti tiada satu pun yang masuk dalam kepalanya. Mata lelaki itu terus menangkap beberapa ekor bangau lain yang sedang meredah remang senja yang disimbahi cahaya mentari jingga. Dia kagum. Kagum dengan kekuasaan tuhan.

Sekilas dia melepaskan keluhan sebelum pandangannya beralih kembali kepada bukunya tadi. Kosong. Dia sudah tidak bernafsu lagi untuk membaca buku tersebut saat itu. ‘Nantilah aku baca.’ Bisik hatinya. Pandangannya beralih semula ke luar tingkap merenung ke dada langit yang kian kelam dihiasi kerlipan bintang yang masih malap. Sesekali pandangannya terhalang oleh langsir organza biru laut yang ditiup angin senja dari laman. Matanya tercari-cari rembulan yang sepatutnya mengambil alih tugas mentari. Tiada. Mungkin masih awal lagi.

Dia tahu kenapa hatinya tidak begitu tenang untuk membaca. Semuanya gara-gara teringatkan peristiwa yang berlaku beberapa hari lalu. Kalau boleh Rizman mahu tinggalkan jauh-jauh perkara itu., Namun semakin hari, semuanya semakin sebati dan terus berselirat di dalam benaknya. Sebagai anak sulung, dia tersepit antara maruah keluarga dan pengorbanan. Rizman melepaskan sedikit keluhan. Terlalu berat rasanya mengimbau semua itu.

“Mak tak kira. Mak tetap tak nak Aiman kahwin dengan perempuan tu.” Tinggi suara emaknya memecah suasana di dalam rumah banglo setingkat itu sambil menghempaskan punggungnya ke atas sofa berwarna merah hati di tengah ruang tamu. Aiman yang berdiri sambil bersandar di dinding ruang tamu sekadar membisu. Dia tidak berani bersuara sepatah pun. Anak bongsu itu tahu emak akan menyokongnya.

“Tapi mak...” Rizman diam sejenak. Mencari sedikit kekuatan untuk meneruskan kata-katanya. “Kalau Aiman tak kahwin, keluarga perempuan tu akan hebohkan perkara ini. Keluarga kita juga yang dapat malu.” Rizman cuba menjelaskan kebenaran. Abah sekadar menjadi pemerhati drama antara keluarga itu.

“Mak tahu, Aiman tak buat semua tu. Mak yang lahirkan Aiman. Mak tahu siapa Aiman.” Emak tetap berkeras dengan pendiriannya. Mempertahankan anak emasnya itu. Tanpa dia sedari, anak emas itulah yang menyusahkan seluruh keluarga. Menjatuhkan nama baik keluarga. “Perempuan tu yang nak fitnah keluarga kita.” Emak bukan saja tegar dengan pendiriannya bahkan mencipta satu tuduhan baru.

“Kalau sudah usung anak dara orang merata-rata sampai perut berisi, itu pun boleh dikata baik lagi?” Pedas kata-kata abah yang dari tadi hanya berdiam diri meningkah tuduhan isterinya. Dia mengambil tempat betul-betul menghadap wanita lewat 40-an itu. Diamnya adalah berfikir. Emak terdiam kematian kata namun sempat mencebik tanda protes. Begitu juga dengan Aiman. Kata-kata abah tadi betul-betul kena pada batang hidungnya. Mata abah tajam menembusi pandangan Aiman. Aiman tunduk takut. Mungkin dia mula sedar bahawa dia terpaksa berkahwin dengan perempuan itu.

Bagi emak pula lain. Dia tetap tidak mahu Aiman berkahwin. Muktamad . Dengan apa cara sekalipun, dia tetap akan mencari jalan supaya Aiman tidak berkahwin dengan perempuan itu. “Kalau Aiman berkahwin dengan perempuan itu, mak akan pergi dari rumah ni. Mak tak kira.” Emak benar-benar tekad dengan ugutannya. Bermakna, itu adalah kata dua.

Seisi keluarga memandang emak seakan meminta suatu kepastian. Aiman juga begitu. Selebihnya hatinya gembira kerana sudah tentu dia akan selamat daripada berkahwin jika emak tetap berkeras dengan ugutannya. Mana mungkin keluarganya merelakan emak meniggalkan rumah banglo itu.

Namun begitu, lain pula pada Rizman dan abah. Ugutan emak terlalu mendesak. Mereka tersangkut antara kata dua. Bersetuju bermakana mereka merelakan pemergian emak. Menolak bermakna mereka akan menjatuhkan maruah keluarga. Mereka benar-benar tersepit antara kedua-duanya. Sama-sama penting. Mereka bukannya tidak tahu perangai emak. Jika dia berkata dan berkeras untuk melakukan sesuatu, bermakna dia betul-betul akan melakukannya. Tidak kira sama ada perbuatannya itu salah ataupun tidak.

Pernah suatu ketika dulu emak mengugut bahawa dia tidak akan makan jika abah menghantar Aiman ke sekolah berasrama semasa Aiman masuk tingkatan satu. Dan emak benar-benar tidak makan beberapa hari apabila abah tetap berkeras menghantar Aiman ke sekolah berasrama. Akhirnya abah terpaksa beralah dengan membawa Aiman pulang. Sejak dari peristiwa itu, perangai Aiman menjadi-jadi.

Suasana ketika itu lengang seketika. Seisi rumah bungkam menyusun kata. Emak dengan pendiriannya yang begitu radikal. Aiman sejak tadi membisu. Rizman dan abah tersepit antara dua kepentingan. Untuk apa lagi bersuara kalau sudah tiada cara penyelesaiannya.

Sebagai anak sulung, Rizman tercabar dengan tanggung jawabnya. Antara maruah dan keluarga, yang mana lebih penting. Rizman benar-benar tidak dapat berfikir. Tangannya memicit dahinya yang tidak sakit. Dia tertekan. Mahu sahaja dia menerkam adiknya Aiman kerana terlalu geram. Mujurlah kewarasan dan kesabaran masih ada untuk membatasinya.

Dia sedar kesabarannya sudah hampir sampai ke kemuncaknya. Dengan kekuatan yang senipis kulit bawang, dia cuba untuk bertahan. Selebihnya dia beristighfar untuk mencari sedikit kekuatan. Dia tahu emaknya sudah seperti orang hilang akal. Berfikir hanya dengan nafsu. Sehinggakan tindakan adiknya yang seperti orang bodoh pun masih disokong.

Rizman cuba menangkap wajah abah. Tenang. Dia tahu abah sedaya upaya menyembunyikan kegusarannya. Bencana jiwa yang melanda tebing hati tuanya ditanggung sendirian. Sudah tentu abah lebih tertekan darinya. Dia kemudian mengalihkan pandangan menangkap raut adiknya namun segera dipalingkan pandangannya kerana dia bimbang kesabarannya hilang melihat wajah perosak keluarganya itu. Sungguh menyakitkan hati.

Sehingga saat ini, tiada seorang pun yang bersuara. Emak membatu sekeras tekadnya. Sesekali wanita itu mengisar punggungnya untuk membetulkan kedudukannya yang kurang selesa. Aiman menikus dengan kesalahannya. Abah tenang setenang hening malam. Rizman diam namun hatinya penuh dengan bicara. Geram dengan sikap emaknya. Bengang dengan tindakan adiknya. Segalanya teradun sebati dalam dadanya yang kian sendat dengan pelbagai masalah yang datang bertali arus.

Rizman sedar mungkin pengorbanannya dituntut untuk menyelesaikan masalah ini. Bukanlah niatnya untuk mengambil alih tugas abah sebagai ketua keluarga. Bukan juga untuk menafikan kepimpinan abah. Namun saat itu dia sedar abah seakan hilang idea untuk menyelesaikan masalah ini. Apa salahnya jika dia yang mencari jalan untuk menyelesaikannya. Semuanya untuk kepentingan dan masa depan keluarga juga.

“Mak, abah.” Perkataan pertama yang keluar dari mulut Rizman sekali gus memecah kebungkaman yang sekian lama mengisi ruang rumah itu. Tiga pasang mata merenung tajam wajah anak sulung itu menanti patah kata yang seterusnya.

“Man tahu Man bukanlah anak yang terbaik untuk mak dan abah. Man sedar Man dibesarkan oleh arwah Tok Munah. Man hanya tinggal bersama keluarga kita dalam rumah ini ketika Man berusia 13 tahun. Itupun setelah Tok Munah meningal dunia,” kata-kata Rizman terhenti seketika. Tiga pasang mata itu masih tidak beralih merenungnya. Masih menanti patah kata seterusnya.

“Tapi Man bersyukur sangat. Tuhan masih satukan kita sekeluarga. Mak, abah. Biarlah Man yang berkorban. Biar Man yang berkahwin dengan perempuan tu demi maruah dan keluarga kita.” Rizman melepaskan keluhan berat seberat keputusan yang dibuat. Mata abah membulat seakan tidak percaya. “Man rela. Kalau pengorbanan ini dapat membalas jasa baik mak dan abah selama Man tinggal di sini.”

Dadanya terasa sesak. Ini sahaja jalan yang dia ada. Dia sedar bahawa pengorbanannya ini benar-benar akan menekannya. Jiwa dan seluruh hidupnya. Bagaimana dia ingin jelaskan semua ini kepada tunangnya yang amat dicintai? Gadis yang setia menanti janji bersama sehidup semati dimeterainya. Gadis yang menerima dirinya seadanya.

Sanggupkah dia melukakan hati gadis yang tidak berdosa itu? Kuatkah dia untuk melihat air mata yang mengalir dari wajah kekasihnya itu? Adilkah dia menghukum tunangnya dengan kesalahan orang lain? Persoalan-persoalan inilah yang menyesakkan dadanya.

Tidak cukup dengan itu, masa depannya pasti tidak ketentuan. Bahagiakah dia jika hidup bersama di bawah satu bumbung dengan gadis yang langsung tidak pernah dikenali apatah lagi dicintai? Relakah dia menasabkan anak darah daging adik kandungnya sendiri dengan namanya?

Rizman betul-betul tersungkur dengan ujian ini. Dia sendiri bingung apakah salah dan silapnya sehingga dia terpaksa menanggung semua ini. Hatinya merintih hiba. Menangis. Matanya berkaca namun dia tetap bertahan. Dia perlu kuat menanggung keputusannya sendiri. Hanya Tuhan yang tahu dan memahami rintih hatinya saat itu.

Rizman merenung lantai mencari sedikit kekuatan. Dia terlalu lemah saat itu. Hatinya serapuh kaca yang retak, cuba ditahan daripada pecah berderai. Dia tahu abah cuba memahami dan menyelami hatinya. Dia tahu emak puas setelah kehendaknya tercapai. Dia juga tahu hati Aiman melonjak riang kerana tidak perlu menanggung hukuman atas kesalahan sendiri.

Apa yang pasti, dia tahu tiada siapa di antara mereka yang dapat membaca keperitan hatinya. Peraturan dunia tidak pernah adil. Terutamanya apabila peraturan itu dibuat untuk kepentingan sendiri. Mungkin peraturan Tuhan lebih tepat. Hukuman-Nya lebih adil. Biarlah Dia yang menentukannya kelak.

Azan maghrib yang berkumandang menyentuh gegendang telinga Rizman lantas membawanya kembali ke alam nyata. Rizman bingkas menuju ke bilik air untuk berwuduk. Dia mahu ke surau untuk solat berjemaah.

Ombak keresahan yang menghempas pantai hatinya cuba dicampak jauh ke tepi. Selebihnya dia berharap Tuhan akan memberi ketenangan dan kekuatan dalam jiwanya serta membantunya menjalani hidup yang mendatang dengan lebih tabah. Dimulakan dengan nama Allah dan niat, wajahnya basah dengan air wuduk. Dalam kedinginan air wuduk itu Rizman terasa sedikit bahang air dari kelopak matanya.


( cerpen ini penulis siapkan pada februari 2008 )

Labels: 0 comments | edit post
fahdin
Labels: 0 comments | edit post
fahdin

Seluruh alam ini adalah makhluk dan manusia juga adalah makhluk. Maka secara kesimpulannya manusia juga sebahagian daripada alam ini.

Seluruh alam ini bertasbih kepada Allah sebagai tanda sujud dan pengabdiannya kepada Allah. Bagaiman pula manusia? Pengabdian manusia kepada Allah adalah dengan mendirikan solat menyembah Allah. Semua ini sebenarnya adalah fitrah.

Fitrah matahari mengabdikan diri kepada Allah dengan memancarkan cahayanya. Planet-palanet di cakerawala dengan fitrah mengelilingi matahari mengikut orbit masing-masing termasuk bumi yang berpusing 360 darjah mengikut orbitnya sebagai fitrah pengabdian dirinya kepada Allah.

Manusia bagaimana? Sudah tentu dengan dengan menunaikan solat 5 waktu sehari semalam sebagai tanda pengabdian kepada Tuhan sekalian alam.

Mengikut satu kajian sains, jika bumi terpesong walaupun sedikit (tidak pasti jarak spesifik) dari orbitnya nescaya akan hancur binasalah bumi. Begitulah betapa besarnya kesan apabila bumi terpesong daripada fitrahnya.

Begitu juga dengan manusia. Jika manusia meniggalkan walaupun satu waktu solat dalam sehari, secara hakikatnya manusia itu sendiri telah hancur musnah kerana lari dari fitrah sendiri. Percayalah dan renunglah. Sanggupkah kita biarkan diri kita hancur musnah walaupun fizikalnya kita masih sempurna. kerana amal maksiat kitalah yang memarakkan api neraka untuk membakar diri kita sendiri.

( Artikel ini adalah bingkisan penulis hasil perbincangan dalam sesi tutorial kursus Pengantar Usuluddin 9 sep 2008 Akademi Peng. Islam UM )
fahdin
Melibatkan diri dalam perhubungan erat yakni dunia percintaan yang lebih ke arah nilai-nilai keduniaan semuanya adalah plastik atau tiada pengertian cinta hakiki sebenarnya. Cinta seperti ini lebih ke arah rangsangan nafsu yang disalah erti kerana perhubungan persahabatan yang rapat dan terbuai oleh dodoian perasaan.

Hakikat percintaan yang dibenarkan oleh islam ialah asas daya tarikan kepada kewarakan seseorang yang menjadi tarikan kepada cinta yang bersyariatkan Islam. Kebanyakan persahabatan yang lebih bermotifkan memikat sememangnya lebih kearah sentimental value yakni lebih kepada pemberian hadiah tidak kira apa jua barangnya.

Jika tidak berminat masakan nak mengorbankan wang kepada seseorang. Romantik pada dasarnya adalah bukan satu prinsip di dalam Islam. Oleh itu bagaimanakah akan wujudnya hubungan romantik sekiranya mereka tidak berhubungan atas alasan kalau hanyalah melalui asas pendekatan Islam?

Cinta di dalam islam sebenarnya tiada hubungan romantik atau caring atas alasan jika benar pencinta yang memahami corak Islam lebih kearah menulis peringatan-peringatan allah yang senantiasa takutkan kemurkaan Allah di dalam konteks cara perhubungan walaupun mungkin tidak pernah berdating. malah org yang bercinta di dalam bentuk syariat islam takut untuk berhubungan secara menulis kerana was was dengan keupayaan untuk menahan bentuk luahan hati yang akan menimbulkan zina hati.

Malah org yang benar-benar beriman takut untuk berhubungan melalui telefon atau kaedah bercakap yang penuh lemah lembut dalam bentuk hubungan lain seperti chat kerana biasanya kekerapan hubungan percakapan lebih kearah tidak tertapis dan bisa menggoda keimanan dengan rasa rindu dengan suara dan gurauan sehingga akhirnya membuat tautan rasa cinta asmara dan bermula kecuali bagi mereka yang benar-benar tidak ada masalah hati, itu pun boleh menjadi satu bentuk perhubungan awalan jika tidak disekat.

Semakin kerap berhubung akan menjadi semakin rapat perhubungan dan akhirnya tanpa mengimbangkan kewarasan akal dan lebih mementingkan perasaan dan nafsu akhirnya menjerumus kepada kefahaman itulah cinta yang sebenarnya. atas dasar apa rindu yang teramat sangat ? sedangkan hakikat rindu yang sebenarnya ialah rindukan Allah. Org yang beriman dapat menangkis ketahanan rindu apabila asas cinta benar benar berlandaskan iman.

Bukankah di dalam islam sendiri sudah menggaris pandu corak meminang wanita, tetapi anak-anak muda dewasa ini lebih suka kepada bercinta dan mencari cinta serta mencari masalah dalam konteks perhubungan cinta yang mana akhirnya akan terjebak di dalam lautan cinta yang memabukkan. Cinta berasaskan islam ialah cinta kebaikan keimanan dan keutuhan pendirian kerana ia adalah asas kepada tiang pengukuhan iman di hari depan.

Malah cinta di dalam islam lebih ke arah rasa hormat, malu dengan kewarakan responden. Kerana itulah cinta hakiki yang tidak boleh dijual beli. Malah malu untuk berkata-kata di sebalik kata-kata yang tidak sepatutnya. apabila individu itu benar-benar mencintai seseorang itu atas sifat-sifat didalam diri respondennya ia lebih ke arah sifat mengkagumi untuk memilikinya tanpa syak dan was was akan kebaikan, keimanan dan keutuhan dan pendirian responden.

jika ia benar-benar memahami konteks iman didalam percintaan yang terbina di dalam dirinya, daya tarikan ke arah cabaran-cabaran cinta luaran murahan yang mendatang tidak bisa menembusinya. Maka tidak ada dua, tiga atau empat sikap jatuh cinta dalam satu masa. Malah, masalah sama ada sayang atau tidak sayang timbul kerana asas cinta sebenar ialah keupayaan untuk sama-sama meningkatkan iman andai kata terbina ikatan yang diakhiri ukhuwah di dalam percintaan yakni ikatan perkahwinan.

Cinta berasaskan islam dan syariat lebih ke arah memupuk ukhuwah islamiyah di dalam pemantapan jasmani dan rohani. bukan seperti sebahagian anak muda yang tidak memahami konteks percintaan hakiki yang mana terlalu mudah jatuh cinta dengan hanya sekali pandang(love at the first sight), dan juga dengan hanya tautan kata-kata.
sememangnya tidak dinafikan kuasa cinta benar-benar dapat menguasai respondennya. ada yang berubah sikap dengan rangsangan cinta.

Sebagai contoh ada yang semakin beriman, semakin baik dan semakin terdidik kerana nasihat dan peringatan oleh org yang dicintainya. Tetapi adakah rangsangan itu akan terus berkekalan andai kata cinta berpaling arah atau tidak menjadi. Inilah yang dibimbangi kerana rangsangan cinta murahan hanya satu kepura-puraan yang tidak berkekalan atas asas tujuan untuk memikat hati. Ada yang jadi baik dan bercakap baik-baik di depan org yang dicintainya. Maklumlah org yang dicintai itu seorang yang beriman. Tetapi bila bercakap dengan kawan-kawan lain pulalah membebel entah apa-apa kerana itulah dirinya yang sebenar.

Sebab itu didalam konteks perhubungan cinta sesama Islam , jika ingin memulakan ikatan cinta itu berasaskan cinta yang penuh didikan iman perhatikan muamalat responden agar tidak tersalah jatuh di dalam jerat percintaan yang tidak patut. Sebab ia lebih ke arah mengheret masalah baru. Mungkin akan menjatuhkan ke lembah hina seperti yang terjadi di dalam kes Nur Aisyah Bukhari.

Semuanya bermula dari kesilapan Nur Aisyah sendiri yakni tidak memerhati, memikir baik-baik dan memutuskan apa yang dicintanya itu layak atau tidak untuk dicintai. Sungguh pun dikatakan Nur Aisyah sudah terdidik sebelum ini, akan tetapi iman yang sebenarnya ialah dari asas pendekatan dirinya sendiri. Ilmu yang dipelajarinya sekiranya tidak diamalkan akan menjadi perosak didalam dirinya maka itu lah yang berlaku di dalam diri Nur Aisyah.

Begitu juga dengan anak-anak gadis kita bila mana seorang pemuda menyampaikan hasrat cintanya, jgn mudah terusik hati.Perhatikan agamanya, kebaikannya dan segalanya sejak dia belum mengenali kita. Maksudnya ialah sifat asalnya dan muamalat asalnya, kerana jika kita mudah membenarkan hati dilalui, ia hanya akan membuka peluang ke arah ketidakfahaman konsep berasaskan Islam.Uji mereka dulu dengan corak akhlak dan pergaulan iaitu jangan membenarkan kita dirapati akan perasaan mereka agar menimbulkan keraguan dan was-was yang kita tidak menerima cinta mereka.

Ini tidak,anak-anak gadis dan pemuda suka melayan dan melayan dan akhirnya terbuai kata-kata asmara yang terbina sendiri dan menimbulkan kerosakan hati di dalam hati mereka sendiri. Biarlah dikatakan diri kita ego tetapi ego untuk kebaikan iaitu menjaga diri untuk mengimbangi antara kewarasan akal dan iman yang akan menjadi benteng dan senjata melumpuhkan pihak lawan.

Benarkah begitu? sebab bagi perempuan mahupun lelaki yang beriman mempunyai sifat-sifat yang konkrit di dalam pendirian mahupun akhlak. Bukankah akhlak yang cantik terbina terbina dari didikan hati nurani iman yang cantik? Bagi yang memahami dan mengerti apa itu iman, dia tidak ragu-ragu untuk terus memiliki perempuan itu dengan jalan terbaik, iaitu apa? Tentulah sekali dengan meminang wanita itu sebab wanita itu bukan calang-calang imannya tentulah terfikir di hati mereka "akulah yang paling bertuah andaikata aku berupaya memiliki wanita yang paling payah untuk dikuasai kerana apabila diberi cintanya pada aku, akulah org yang paling agung dan terhormat di atas pemberiannya itu dengan cara yang diizin dan dihalalkan oleh Islam dan Allah ta'ala" oleh itu kata-kata bidalan " berkawan biar beribu, bercinta biar satu" tidak begitu tepat di dalam konteks islam dan patut ditambah "bercinta biarlah untuk teman di akhirat yang dihalalkan oleh islam". Disebabkan faktor-fakto semua panahan cinta di atas konsep berkawan adalah tidak tepat dan bercanggah di dalam konteks perhubungan islam kerana ia hanya boleh menjatuhkan ke arah perhubungan dalam suasana fitnah.

Akhir kalam, hanya jauhari sahaja yang mengenal manikamnya yakni hanya orang-orang yang beriman akan menghargai dan mengagungi keimanan org yang patut dicintainya kerana hanya org yang baik-baik sahaja yang inginkan sesuatu yang baik, di situ sudah menampakkan penilaiannya dimana jodoh yang baik adalah untuk org yang baik dan begitulah sebaliknya. Kerana org yang tidak baik , tidak menyanggupi untuk hidup bersama org yang baik kecuali dalam dirinya itu adalah mempunyai zat yang baik juga.














berkata Imam Nawawi: "aku menyintaimu karana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu"..


( Artikel ini saya peroleh daripada email yang dihantar kepada saya )


Labels: 0 comments | edit post
fahdin

Selamat
menjalani
ibadah
puasa

fahdin

Gembira rasanya apabila Malaysia pulang dengan satu pingat perak dalam sukan olimpik baru-baru ini dan tidak lupa juga tahniah kepada yang berjaya. Dialah hero yang menjadi kebanggaan negara. Mendapat pujian yang melangit, hadiah sebanyak RM300 000, pencen dan mukanya terpampang di kaca tv, dada-dada akhbar, namanya disebut-sebut di corong radio sebagai penghargaan kerana telah mengharumkan nama negara.

Bukan ini sebenarnya yang ingin saya bincangkan dan luahkan namun disebalik pujian melangit ini, pernahkah kita terfikir ada golongan lain yang lebih hebat daripada ini namun tidak pernah mendapat penghargaan sehebat dan setinggi ini.

Siapa lagi kalau bukan golongan para pendidik yang berada di barisan paling hadapan dalam membina generasi sesebuah negara. Yang memikul tanggung jawab paling besar dalam membentuk jati diri dan intelektual anak pertiwi. Yang menggalas amanah terbesar dalam melahirkan para pemimpin negara yang dikagumi kawan dan disegani lawan.

Kerana gurulah ada Pemimpin. Kerana gurulah ada guru. Kerana gurulah ada doktor dan peguam. Kerana gurulah ada polis dan askar dan kerana gurulah seluruh generasi kita hari ini celik dengan ilmu. begitulah tingginya jasa guru sehingga tak dapat untuk saya gambarkan betapa banyaknya jasa mereka kepada agama, bangsa dan negara.

Namun jika difikirkan, sejauh manakah sanjungan kita terhadap mereka? Sehebat manakah kita mengangkat martabat mereka seiring jasa mereka? Gelaran apakah yang paling sesuai untuk kita berikan kepada mereka?

Jauh du sudut hati, bukan pujian yang mereka harapkan. Bukan sanjungan yang didambakan. cukuplah dengan kalimah keramat. Kalimah yang mampu menghilangkan rasa penat. Kalimah yang mampu membakar semangat. Kalimah yang mampu memberi azimat.

cukuplah dengan kalimah "terima kasih guru". Maka terhapus semua kepenatan yang tersimpan. Terbayar semua pengorbanan. Terbina semangat yang hilang.

Biar generasinya seorang menteri. Biar generasinya seorang profesor dan doktor. mereka tetap seorang guru. renung-renugkan jika kita peduli.....

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

- Sajak karya SN Dato’ Dr Usman Awang



( Maaf jika artikel ini menyentuh sentimen mana-mana pihak. Bukan hasrat di hati yang nak disuarakan tapi hakikat yang perlu ditegakkan )