Kasih Bertaut

fahdin

Definisi persaudaraan

Persaudaraan adalah tali yang mengikat antara manusia. Persaudaraan jugalah yang menyatukan di antara individu dan mengelak perselisihan sesama manusia. Oleh kerana itulah manusia perlu bersatu demi kehidupan yang harmoni dan bahagia serta pelbagai ikatan digunakan demi mengukuhkan persaudaraan dan penyatuan. Antaranya ialah ikatan darah, keturunan, bangsa, kabilah, warna, pangkat, negara, geografi malah ideologi manusiawi adalah pilihan manusia untuk hidup bersatu.

Namun, penyatuan berdasarkan ikatan-ikatan tersebut mudah terputus. Contohnya, orang berkulit hitam tidak boleh disatukan dengan orang kulit putih selamanya kerana warna yang berbeza. Begitulah yang lain. Kegagalan inilah yang menyebabkan manusia berpecah. Akhirnya, perpecahanlah yang menyebabkan manusia dan kehidupan menjadi lemah dan kucar-kacir.

Akan tetapi, apakah yang mampu menyatukan semua manusia tanpa dibatasi perbezaan zahiri dan duniawi? Jawapannya ialah akidah kita iaitu akidah islamiyyah yang menjadi tunjang pembentukkan persaudaraan Islam.


Ukhuwwah islamiyyah

Ukhuwwah Islamiyah atau persaudaraan Islam adalah kekuatan kita. Ini adalah kerana ia adalah ikatan agama. Sebuah ikatan berteraskan akidah yang benar dan sahih. Umat islam disatukan di dalam satu kepercayaan yang bersumberkan tuhannya sendiri. Lantas, persaudaraan Islam lahir daripada pengajaran agama bahawa manusia adalah hamba kepada tuhan yang Esa. Kepercayaan ini menjadikan mereka bersatu tunduk kepada satu arahan, satu harapan dan satu matlamat.

Persaudaraan Islam berbeza dengan yang lain daripada dua sudut.Pertama, ia tidak dibatasi ikatan-ikatan sempit seperti yang telah dinyatakan tadi. Islam boleh dianuti semua manusia tanpa kecuali. Islam adalah untuk semua. Kedua, ia adalah ikatan di atas agama yang benar. Agama dan ideologi lain yang menjadi asas ikatan persaudaraan adalah batil dan sesat. Sesuatu yang dibina di atas kebatilan dan kesesatan adalah lemah, gagal dan tidak kekal.


Wahdatul ummah

Umat islam bersatu kerana mereka di arah untuk bersatu tujuan. Mereka bersatu kerana mereka dilarang berbeza tujuan. Arahan dan larangan bersifat rabbani yang pasti benar ini mendorong umat islam untuk saling menjaga diri dan saudaranya daripada tersasar. Umat Islam disatukan melalui rujukan yang sama iaitu Al Quran dan Ar Rasul dan juga ibadah yang sama iaitu rukun Islam yang lima. Begitulah pengajaran Islam telah membina landasan yang betul ke arah penyatuan umat Islam.

Sirah telah membuktikan dengan kekuatan ukhuwwah islamiyah inilah Rasulullah telah membentuk barisan sahabatnya yang bersatu sedari awal pembentukan mereka melalui akidah yang benar. Dengan kekuatan ini jugalah baginda menyatukan di antara kaum Muhajirin dan Ansar sebaik penghijrahan baginda ke Madinah. Begitulah talian-talian dan ikatan-ikatan lain menjadi kerdil dan terpinggir di hadapan kekuatan ukhuwwah islamiyah.

Dalil dalam Al-Quran yang membuktikan perlunya kita untuk memupuk dan memantapkan ukhuwah islamiyyah pada masa kini.

103. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

Kesimpulannya, kesatuan kita boleh diibaratkan sebagai sebuah bangunan yang kukuh, saling menyokong di antara komponennya. Maka, tanggungjawab kita untuk menjaga dan memperkukuhkan persaudaraan Islam ini dengan memantapkan pegangan akidah kita.

Labels: edit post
0 Responses

Post a Comment