Kasih Bertaut

fahdin

Aisyah melangkah masuk ke bilik guru sambil membimbit beberapa buah buku yang dia guna ketika mengajar. Kemudian dia menghempaskan punggungnya di atas kerusi sambil meletakkan buku-buku tadi di atas mejanya. Sesekali dia mengisarkan punggungnya untuk mencari keselesaan.


Gadis bertudung litup itu merenung jam di dinding bilik guru yang berwarna hijau epal itu. Sudah pukul lima suku petang. Aisyah melepaskan sedikit keluhan. Sesekali dia membetulkan kedudukan baju kurung yang dipakainya. Baju kurung biru laut dari batik sutera itu amat sesuai dengan penampilan dan tubuhnya yang agak kecil.


Tambahan pula dia mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam. Pakaian seperti itu sudah semestinya dituntut sebagai tauladan yang baik kepada pelajarnya. Dan sebagai seorang muslimah, dia sedar bahawa pakaian seperti itu bertujuan untuk menutup auratnya. Dia masih teringat ketika dia masih tinggal di Darul Aitam hampir sepuluh tahun yang lalu sebelum Dato’ Khairi dan isterinya Datin Syarifah mengambilnya sebagai anak angkat dan tinggal bersama mereka di ibu kota.


Melalui kelas dan kuliah yang selalu Ustaz Ismail berikan kepadanya, banyak menerangkan tentang pentingnya menutup aurat sebagai seorang muslim. Banyak ayat Al-Quran yang menyentuh tentang menutup aurat terutamanya dalam Surah An-Nisa’. Sehingga hari ini gadis kecil molek ini masih berpegang dengan pesanan tersebut.


Berfikir tentang ibu angkatnya itu membuatkannya tersenyum sendirian. Hari ini adalah ulang tahun kelahiran ibu angkatnya yang ke 53. Seperti tahun-tahun yang lepas, anak-anak umi semuanya akan balik meraikan ulang tahun ini.


Dia mula menggambarkan suasana ketika di meja makan malam nanti. Tentu riuh dengan suara anak-anak kandung umi yang lain. Semua anak umi sudah besar dan hampir sebaya dengannya. Malah ada juga yang sudah berkahwin. Tentu mereka akan balik hari ini untuk meraikan ulang tahun umi.


Aisyah tidaklah begitu rapat dengan mereka kerana jarang berjumpa. Masing-masing tinggal di luar. Tinggallah Aisyah bersama kedua-dua orang tua angkatnya di rumah yang besar itu. Maka tidak hairanlah umi lebih rapat dengannya berbanding dengan anak-anak umi yang lain.


Mereka juga kurang bergaul dengannya kerana mereka merasakan pembawaan Aisyah begitu kolot sehingga di dalam rumah pun perlu bertudung. Pernah dahulu ketika masih bersekolah, mereka selalu menuduh Aisyah tidak menghormati ayah angkatnya kerana dia tidak pernah bersalam dengan lelaki tua itu melainkan umi sahaja.


Namun begitu Aisyah tetap sabar dengan prinsip dan pendiriannya. Ayah tetap bukan ayah kandungnya. Maka dia tidak boleh bersalam dengan lelaki tua itu. Tidak bersalam bukan bererti tidak hormat. Padanya hormat ialah patuh dan taat selagi tidak melanggar batasan dan landasan yang sebenar. Begitu juga tentang aurat. Dia perlu menjaga auratnya dengan ayah. Lainlah umi kerana umi seorang wanita sepertinya. Mujurlah ayah faham prinsipnya tanpa dia perlu menjelaskannya.


Mata galaknya beralih kembali kepada jam di dinding. Sudah pukul lima setengah petang. Bermakna ada setengah jam lagi untuk dia pulang. Dia tidak boleh pulang sekarang walaupun kelasnya sudah tamat pukul lima tadi kerana setiap manusia perlu berintegriti dengan tanggungjawab dan tugas yang diberikan.


Tugas itu adalah amanah. Dan setiap amanah itu akan ditanya kelak. Di dalam hadith Nabi juga ada menyatakan bahawa setiap manusia adalah pemimpin dan mereka akan ditanya tentang apa yang mereka pimpin. Aisyah tahu dia bukanlah pemimpin besar yang memimpin negara. Namun dia sedar bahawa dia adalah pemimpin kepada dirinya sendiri.


Aisyah merenung jauh ke pintu pagar sekolah yang terkuak luas tidak jauh dari bilik guru menerusi tingkap. Ramai orang berada di luar. Mungkin mereka sedang menunggu anak-anak mereka yang akan pulang kurang setengah jam lagi. Hatinya sayu. Dia tidak pernah merasai keadaan seperti ini.


Ketika dia pulang dari sekolah, tidak ada orang tua kandungnya menunggu di luar pintu pagar sekolah melainkan bas Darul Aitam. Gadis itu menelan nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Dalam kesayuan itu dia bersyukur setelah ada orang yang sudi menerimanya walaupun sebagai anak angkat. Sejak itu pulangnya dijemput. Dia tahu Tuhan masih sayangkannya dan segala yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.


Loceng yang berbunyi menandakan waktu sekolah tamat mengejutkannya. Terlalu banyak perkara yang dia fikirkan sehingga membawanya jauh ke dunia lain. Dia segera mencapai tas tangannya di dalam laci dan melangkah keluar untuk pulang. Hari ini dia akan menaiki bas untuk pulang kerana kereta kancilnya tersadai di bengkel sejak tiga hari lalu.


Umi ada menawarkan diri untuk mengambilnya namun dia menolaknya kerana tidak mahu menyusahkan wanita separuh abad itu. Terlalu banyak jasa wanita itu sehingga tidak mampu untuk dia balas lagi.


Ketika sedang menuggu bas, sebuah kereta Proton Wira hitam berhenti betul-betul di hadapannya. “Jomlah naik! Am hantar,” pemuda itu menawarkan diri untuk menghantarnya pulang.


Amran adalah tunangnya. Mereka sudah mengikat tali pertunangan sejak setahun yang lalu dan akan berkahwin dua bulan lagi . Walaupun perkahwinannya dengan berwalikan hakim, Aisyah tidak merasa begitu sedih sebaliknya bersyukur kerana dikurniakan bakal suami yang penyayang dan memahaminya.


“Tak apalah. Tak manis orang tengok,” Aisyah cuba menolak dengan baik. Bertunang bukan beerti boleh keluar bersama kerana ikatan itu belum benar-benar sah. Hatinya ingin namun dia sedar batasannya.


Amran faham kenapa kekasihnya itu menolak. “Orang takkan kata apa-apa. Kan Mila ada di belakang.” Amran menjawab apa yang tersirat di hati kekasihnya itu sambil memalingkan wajahnya kepada kanak-kanak yang duduk di kerusi belakang kereta itu.


Dia bukanlah calang-calang lelaki. Berkelulusan Syariah Undang-Undang dari Universiti Malaya menjadi satu kriteria untuk memikat hati gadis idamannya itu. Aisyah pernah memberitahunya bahawa dia mahukan bakal suami yang mempunyai didikan agama yang cukup untuk membentuk dan mendidiknya sebagai isteri yang solehah semasa mereka sama-sama belajar di universiti yang sama beberapa tahun yang lalu.


Aisyah tersenyum dan melangkah masuk ke dalam kereta. Hatinya berbunga riang dan bangga kerana memiliki tunang yang memahami dirinya. Sesekali mata mereka bertautan. Aisyah tertunduk malu. Amran tersenyum bangga kerana bakal memiliki bunga idaman yang terpelihara. Keindahannya begitu sempurna membuatkan hatinya tidak jemu memuji keagungan tuhan. Tuhan yang menciptakan keindahan ini untuknya.


“Macam mana Am tahu Aisyah balik naik bas?” Aisyah memulakan perbualan. Selebihnya dia hairan begaimana tunangnya itu tahu dia tidak berkereta hari ini. Matanya melihat wajah bakal suaminya itu yang masih memusatkan perhatian kepada pemanduannya.


“Umi yang bagi tahu abang.Ops! Umi yang bagi tahu Am.” Amran segera membetulkan kata-katanya setelah menyedari kesilapan sendiri. Aisyah tersenyum. Panggilan seperti itu akan keluar dari mulutnya kelak.


“Hai, awalnya sudah mengaku abang. Peguam pun boleh tersasul juga rupanya,” Aisyah menduga tunangnya itu sambil ketawa kecil. Wajah Amran berona merah menahan malu. “Peguam pun manusia juga.” Lelaki itu cuba mempertahankan diri. Aisyah yang masih dengan tawanya yang bersisa tidak menjawab.


Umi selalu berusaha merapatkan hubungan mereka. Aisyah tidak salahkan umi. Dia tahu umi terlalu sayangkannya dan mahu dia sentiasa bahagia. Dia pasti peristiwa hari ini juga dirancang oleh umi untuk tujuan yang sama.


Malam itu seperti yang dijangkakannya petang tadi. Semua anak umi pulang untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran umi yang ke lima puluh tiga. Majlis diadakan secara ringkas sahaja tanpa menjemput tetamu yang lain. Semua berkumpul di ruang makan untuk makan malam bersama termasuk Aisyah yang mengenakan baju kurung hijau muda dari kain sutera yang dihadiahi tunangnya tahun lalu bersama sehelai tudung yang sedondon dengannya.


Seperti tahun-tahun yang lalu semua anak umi berlumba-lumba untuk memberikan hadiah yang terbaik kepada umi. Aisyah masih ingat pada majlis yang sama tahun lalu apabila dia dipandang sinis dan dipersenda oleh anak-anak umi hanya kerana memberi umi sebuah tas tangan yang dibeli di pekan dengan harga murah. Dan hari ini dia juga tidak ketinggalan untuk menberi hadiah kepada umi. Dia mahu berikan hadiah yang tidak ternilai kepada umi.


Kak Zah menghadiahkan umi seutas loket yang bertatah zamrud. Tentu mahal harganya. Kak Shima pula memberikan umi set barangan kulit yang dibelinya khas semasa melancong ke luar negara dua bulan lepas. Daripada beg tangan hinggalah kepada kasut bertumit tinggi. Abang Azrul juga tidak mahu mengalah dengan memberikan umi dua keping tiket perlancongan ke Paris. Semua orang berbangga dengan pemberian masing-masing.


Ayah hanya mendiamkan diri dan menjadi pemerhati yang setia. Jika dia seorang perempuan sudah tentu dia akan mendapat hadia-hadiah seperti itu daripada anak-anak. Hati kecilnya berjenaka cukup untuk dirinya dan tidak perlulah dikongsi dengan yang lain. Hampir setiap tahun dia akan mendapat jam tangan dan tali leher. Jam hanya boleh dipakai satu di tangan. Begitu juga dengan tali leher yang hanya boleh dipakai satu di leher. Jika pakai lebih daripada satu tentu akan dianggap buang tabiat ataupun gila. Tidak perlulah banyak. Cukuplah beberapa sahaja untuk dia bertukar-tukar sekali-sekala.


Tiba giliran Aisyah. Semua anak umi memusatkan pandangan mereka kepada gadis bertudung itu. Mungkin mereka tertanya tentang barang murahan apakah pula yang akan dia berikan tahun ini. Umi juga memandangnya. Namun pandangan wanita itu lebih lembut seolah tidak mengharapkan apa-apa daripadanya.


Aisyah bangun dan menghampiri umi. Semua orang di ruang makan itu masih tidak beralih dari memusatkan pandangan mereka ke arahnya. Kemudian Aisyah menghadiahkan sebuah ciuman ke pipi tua itu. Seisi rumah terdiam. Mereka keliru dengan tindakannya.


“Aisyah cuba mencari hadiah yang tidak ternilai untuk umi. Hari ini Aisyah sudah jumpa apakah hadiah itu.” Aisyah diam seketika menyusun kata yang sesuai. Dia tahu seisi ruang makan itu sedang menanti patah katanya yang seterusnya.


“Kasih sayang. Kasih sayang adalah hadiah yang tidak ternilai yang Aisyah ingin beri kepada umi. Umi terlalu baik untuk Aisyah sehingga segunung harta tidak mampu untuk Aisyah balas segala kasih umi terhadap Aisyah.” Aisyah kembali diam untuk seketika. Semua orang bungkam.


“Aisyah ingin hadiahkan umi dengan segugus doa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan umi di dunia dan akhirat setiap kali lepas sembahyang,” itu sahaja yang mampu Aisyah beri. Aisyah bukanlah anak kandung umi dan Aisyah bukanlah anak yang terbaik untuk umi. Tetapi terimalah hadiah Aisyah yang tidak seberapa ini untuk membalas kebaikan umi yang melangit luas terhadap Aisyah selama ini.” Mata gadis itu merah dan berkilau seakan ada sesuatu yang akan keluar darinya.


Kata-kata Aisyah benar-benar menyentuh tangkai hati setiap orang yang mendengarnya terutamanya umi. Umi bingkas bangun merangkul tubuh Aisyah dan Aisyah membalasnya. Kilauan di mata Aisyah akhirnya jatuh juga ke bahu umi. Umi juga begitu. Sekian lama dia tidak sesebak ini. Air matanya juga tidak mampu ditahan lagi.


Pantai hatinya dihempas ombak kasih yang kian mendalam terhadap anak itu. Bilahan hari yang berlalu terasa begitu bermakna sehingga dia merasakan bahawa dia tidak akan menyesal membesarkan anak itu sehingga hari ini. Sebaliknya dia bersyukur kerana tuhan mengurniakan anak itu kepadanya.


Hari ini amat bermakna dalam hidupnya. Hadiah daripada anak inilah yang tidak ternilai untuknya. Dia sungguh bersyukur. Genap lima puluh tiga tahun ini dia benar-benar belajar apakah itu erti kasih sayang yang sebenar. Asykuruka ya Rabbi.



GLOSARI


Darul Aitam : perkataan Arab yang bermaksud ‘rumah anak-anak yatim’.


Asykuruka ya Rabbi : perkataan Arab yang bermaksud ‘Aku bersyukur kepadamu tuhanku’


(Maaflah....cerpen ini agak biasa. maklumlah baru nak belajar)
Labels: edit post
1 Response
  1. Subhanie Says:

    Sejujurnya. Saya suka sangat cerpen ni. :)


Post a Comment