Kasih Bertaut

fahdin

Karen membetulkan kedudukannya sambil mengeliat kecil. Sudah dua jam dia berada di dalam pesawat Tentera Diraja Malaysia bersama empat puluh sembilan lagi sukarelawan. Sesekali dia menguap kecil namun matanya masih tidak mahu lena. Sekilas matanya melirik ke arah jam di tangan Sumaiyah di sebelahnya. Alangkah bagusnya kalau dia sedang dibawa jauh oleh mimpi indah seperti Sumaiyah sekarang. ‘Masih awal lagi. Bilakah agaknya nak sampai ni?’ Hati kecilnya bertanya.

Lama Karen memandang kosong di sekelilingnya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk melayan perasaan sendiri. Banyak perkara yang difikirkannya. Sebelum berangkat pun dia terpaksa menghadapi pelbagai krisis. Karen melepaskan sedikit keluhan. Terlalu berat rasanya mengimbau reaksi keluarga apabila dia membuat keputusan untuk menyertai misi kemanusiaan di bumi Rabbani yang bakal dia jejaki beberapa jam lagi.

“Tak boleh! Papa tak benarkan kamu pergi. Kamu tahu tak betapa bahayanya jika kamu pergi ke sana? Banyak lagi kerja lain yang kamu boleh buat di sini. Lebih baik kamu tolong papa di kedai,” permintaan Karen ditolak sekerasnya.

“Betul tu sayang. Kamu sudah tak sayangkan mama lagi? Kamu tak sayangkan Micheal?” suara mama agak lembut memperbaiki ketegangan. Sedetik ruang tamu rumahnya menjadi lengang.

“Papa, mama. Karen dah fikir masak-masak. Apa pun Karen tetap nak pergi juga. Mereka perlukan bantuan kita. Takkan mama tak kasihan bila mama tengok penderitaan mereka di kaca tv? Papa tak kasihan?” Karen masih berkeras dengan keputusannya.

“Sayang. Mereka bukan saudara mara kita. Kita bukan seperti mereka. Biarlah saudara mereka yang bantu mereka. Ramai lagi saudara mereka dalam dunia ni,” mama masih memujuk.

“Mama. Tolonglah faham. Salahkah kalau Karen tolong mereka. Mereka pun manusia seperti kita. Cuba mama bayangkan kalau kita yang menjadi mangsa peperangan seperti mereka? Mama izinkanlah Karen pergi untuk sementara saja. Selesai tugas Karen akan balik.” Mama hanya mendiamkan diri menahan air yang bertakung di kelopak matanya. Bila-bila sahaja akan mengalir. Mama sudah tidah tahu lagi cara untuk menghalang anak gadis kesayangannya daripada pergi. Kemudian mama mengalih pandangan ke arah papa minta kata putus.

“Pergilah kalau itu yang kamu mahu. Jagalah diri kamu di sana nanti. Kami sayangkan kamu Karen. Kami tak mahu kehilangan kamu,” dengan berat papa memberi kata putus. Seisi ruang tamu bungkam. Sesekali disulami esakan kecil mama yang tidak dapat menahan kesedihan.

“Mama bimbang akan keselamatan kamu sayang,” mama menyuarakan kebimbangannya. Ibu mana tidak sayangkan anak sedangkan kasih sayang itu sendiri fitrah manusia. Haiwan pun tahu menyayangi anaknya.

Karen tahu orang tuanya berasa berat melepaskannya. Tapi baginya, ada yang lebih memerlukannya. Dia sudah tidak sanggup lagi menjadi penonton kepada kekejaman manusia. Dia tidak sanggup lagi melihat manusia yang tidak berdaya ditindas sewenang-wenangnya. Dia tidak rela membiarkan nyawa dijadikan seperti mainan.

Karen tersedar dari lamunan setelah bahunya disentuh Sumaiyah. ‘Aku berangan rupanya,’ bisik hatinya. Sumaiyah melemparkan seulas senyuman. Manis wajahnya walaupun baru bangun dari tidur. Karen membalas senyuman gadis bertudung tersebut. Sudah lama mereka berkenalan. Perbezaan tidak menjadi penghalang untuk mereka menjalin hubungan persahabatan. Setahunya hanya tiga orang sahaja sukarelawan wanita yang menyertai misi ini termasuk dirinya.

Pagi itu semangat Karen berkobar- kobar untuk melaksanakan misi keselamatan yang dia sertai. Malam semalam dia selamat sampai di bumi berdarah ini. Perjalanan yang mengambil masa hampir lapan jam betul-betul memenatkan sehingga dia tidak sedar bila dia terlena malam tadi.

Selepas bersarapan mereka dikumpulkan ke suatu tempat untuk diberi sedikit taklimat. Karen meneliti kesemua maklumat yang diterimanya. Berdasarkan taklimat tersebut, mereka akan berkampung di kem pelarian yang menempatkan wanita dan kanak-kanak. Perjalanan untuk ke sana memerlukan kenderaan pacuan empat roda berikutan bentuk muka bumi yang tidak sekata.

Sepanjang perjalanan ke kem pelarian, Karen cuba membayangkan suasana di kawasan kem tersebut seperti yang pernah dia lihat di kaca televisyen. Apa yang pasti dia dapat melihat runtuhan-runtuhan bangunan di kiri dan kanan lorong yang mereka lalui tidak ubah seperti yang pernah dia tontoni di kaca televisyen.

Selepas hampir dua jam perjalanan Karen dan sukarelawan lain tiba di kem pelarian yang terletak di hujung Bandar Raudhah. Ini bermakna bermulalah misi mereka di bumi Rabbani ini. Bagi Karen ini adalah pengalaman pertamanya melibatkan diri dalam misi kemanusiaan berbanding Sumaiyah yang sudah beberapa kali terlibat dengan misi seperti ini.

Suasana di kem ini betul-betul memeranjatkan Karen. Segala tayangan yang dia tonton di kaca tv tidaklah seteruk ini. Dia terpana seketika apabila melihat suasana di sekelilingnya. hatinya tersayat melihat penderitaan penghuni kem ini yang rata-ratanya daripada golongan wanita dan kanak-kanak. Matanya berkaca.

“ Karen, tolong saya angkat kotak ubat ni,” suara Sumaiyah menyedarkan Karen. Sekilas dia mengalihkan pandangan ke arah Sumaiyah. Melihat keadaan Karen, Sumaiyah meletakkan kembali kotak tersebut dan menghampiri Karen.

“ Kita tak boleh menagis Karen. Kita perlu ingat misi kita di sini. Mereka mahukan kekuatan daripada kita. Kalau kita lemah, macam mana mereka nak jadi lebih tabah daripada kita,” kata-kata Sumaiyah sedikit sebanyak menaikkan kembali semangat Karen.

Air mata yang bergenang di kelopak matanya segera diseka. Dia menanam azam dalam dirinya untuk menjadi lebih tabah. Dia tidak mahu menghampakan masyarakat di bumi Rabbani ini. Tugasnya untuk membantu bukan untuk melayan emosi. Setelah dia beroleh sedikit semangat, dia melangkah membantu sukarelawan lain memunggahkan barang dan ubatan.

Selepas itu mereka dikumpulkan kembali untuk taklimat terakhir oleh ketua misi tersebut. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk memudahkan pengurusan. Karen berasa lega kerana Sumaiyah menjadi rakan sekumpulan dengannya. Berdasarkan taklimat itu, mereka perlu tinggal bersama pelarian-pelarian di situ supaya lebih mudah mendekati masyarakat bumi Rabbani ini.

Beberapa hari berkampung di kem ini membuatkan Karen sedikit terbiasa dengan suasana di sini tidak seperti ketika hari pertama menjejakkan kaki di sini. Mujurlah Sumaiyah ada untuk membantunya. Namun begitu hatinya sedikit tertekan kerana boleh dikatakan setiap hari pasti ada berlaku kematian kerana kekurangan makanan dan air bersih. Itupun belum termasuk dengan yang mati disebabkan kecederaan.

Kelmarin Sumaiyah membawa Karen bertemu dengan ibu angkatnya Ummu Salamah yang sudah lama tinggal di kem tersebut bersama dua anak perempuannya Safiyya dan Masturah. Menurut Sumaiyah, suami Ummu Salamah telah lama syahid dibunuh Zionis. Karen pernah bertanya kepada Sumaiyah tentang istilah ‘syahid’. Jawapannya ialah mati di jalan perjuangan kerana Allah dan Islam.

Hati Karen sungguh tersentuh apabila menyelami perasaan mereka. Apabila Sumaiyah tiba sahaja di khemah mereka, Ummu Salamah dan anak perempunnya terus menerpa ke arah Sumaiyah beserta dengan esakan. Karen sendiri tidak dapat menahan kesedihan tersebut sehingga dia sendiri turut menitiskan air mata.

Ummu melepaskan pelukan lantas menjemputnya dan Sumaiyah masuk ke khemah. Safiyya hanya mendiamkan diri manakala Masturah sudah reda dengan tangisan rindunya kembali tersenyum dan menyambung kerja sekolahnya di sisi Sumaiyah. Mesra sungguh mereka.. Hati Karen sungguh tertarik dengan semangat persaudaran mereka yang hanya disimpul aqidah yang sama.

Hia sodiqatuki?” Ummu Salamah bertanya kepada Sumaiyah sama ada wanita di sebelahnya itu adalah temannya sambil ekornya melirik ke arah Karen. Karen tahu Ummu bertanya sesuatu tentangnya kepada Sumaiyah, cuma dia tidak faham maksud pertanyaan tersebut. Apa yang pasti dia melihat Sumaiyah menganggukkan kepalanya sebagai reaksi kepada soalan tersebut.

Ma ajmala kal wardah. Masmuha?” Ummu sempat memuji kecantikan Karen dan menggambarkan wajahnya seperti bunga mawar sebelum bertanyakan nama gadis berbangsa cina itu sambil melemparkan senyuman. Karen yang langsung tidak faham dari tadi hanya mampu membalas senyuman tersebut.

Berbeza pula dengan reaksi Sumaiyah. Dia tertawa kecil sambil memandang Karen seolah-olah menggambarkan sesuatu yang agak lucu.

Ismuha Karen, hia ghir muslim,” Sumaiyah memperkenalkan temannya itu kepada Ummu dan memberi tahu wanita seusia ibunya itu bahawa Karen bukanlah seorang muslim. Karen mula terasa malu. Bukannya apa, cuma bimbang jika mereka membincangkan sesuatu yang melucukan tentangnya sehingga Sumaiyah boleh ketawa.

Masturah yang dari tadi dengan kerjanya bingkas bangun lalu menghulurkan buku tulisnya kepada Karen. Wajahnya berkerut kerana tidak faham apa yang Masturah tulis. Mujurlah Sumaiyah sudi menterjemahkannya.

Kami berjalan berbatu-batu untuk ke sekolah.Duduk kami beralas tanah, kepala kami beratapkan langit. Pergi ke sekolah seperti memperjudikan nyawa. Namun demi ilmu kami jadi berani. Perjalanan kami amat menakutkan. Melangkah mayat yang bergelimpang adalah rutin harian. Menggalas beg amat memenatkan. Beg bukan berisi bekalan. Tetapi penuh dengan batu-batan. Hidup kami perlu berani. Batu –batan menjadi saksi. Bila Zionis datang hampiri. Dengan lafaz Bismillah batu kami menjadi bom berisi.

Hati Karen sungguh tesentuh. Kanak-kanak sekecil Masturah sudah memahami penderitaan seperti ini. Hatinya mula menghitung. Siapakah sebenarnya yang lebih kejam? Kejamkah mereka untuk menutut kebenaran? Kejamkah mereka jika membalas dendam atas kematian saudara-saudara mereka? Kejamkah mereka jika menuntut hak mereka? Akhirnya Karen mula sedar dengan sandiwara dunia. Istilah pengganas adalah satu permainan.

Pengganaskah kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa sehingga dibunuh dengan kejam? Pengganaskah wanita-wanita lemah sehingga dirogol tanpa belas kasihan? Pengganaskah pemuda-pemuda yang mempertahankan rumah mereka dari dirobohkan?

Hatinya mula tertarik dengan ketelusan Islam dalam mempertahankan apa itu perjuangan. Hatinya juga tertarik dengan keikhlasan Islam dalam memahami apa itu persaudaaan. Hatinya tertarik dengan Islam dalam menghurai erti pengorbanan.

Sejak pulang dari khemah Ummu Salamah, Karen sering berfikir tentang Islam. Antara agamanya dengan Islam, yang manakah kebenaran. Namun dia pendamkan sahaja kerana hatinya belum betul-betul bersedia. Namun begitu, keindahan Islam sedikit sebanyak telah meresapi hatinya.

Malam itu dia berasa sungguh penat dan dia bercadang untuk tidur awal kerana esok Sumaiyah mahu membawanya ke pekan Raudhah. Walaupun matanya terpejam namun telinganya dapat menangkap suara Sumaiyah yang sedang membaca sesuatu. Dia tahu Sumaiyah sedang membaca kitab agamanya. Biarpun tidak faham apa maknanya namun hatinya tenang mendengar bait-bait bacaan Sumaiyah sehingga dia sendiri tidak sedar bila dia terlena.

Keesokan harinya dia bangun awal seperti hari-hari sebelumnya kerana dia sering terdengar laungan dalam bahasa yang dia tidak fahami namun dia pernah mendengarnya di tanah air. Menurut Sumaiyah laungan tersebut adalah azan yang menunjukkan waktu sembahyang bagi orang Islam. Laungan azan tersebut akan berkumandang lima kali sehari.

Karen sekali lagi tertarik dengan Islam. Waktu sembahyang sentiasa terjaga dan teratur. Dia sendiri dapat melihat kelemahan agamanya. Penganut agamanya bersembahyang tidak mengikut waktu. Jika mereka ingin sembahyang, mereka akan sembahyang dan begitulah sebaliknya.

Pagi itu dia mengikut Sumaiyah ke sebuah pekan yang bernama Raudhah untuk menghubungi pasukan bantuan tambahan dari tanah air. Sempat juga dia singgah di gerai yang menjual pelbagai jenis roti. Penjual di gerai itu hanyalah seorang wanita separuh abad bersama seorang kanak-kanak seusia Masturah. Comel orangnya dengan selendang hitam yang menutup kepalanya.

Karen mengambil beberapa buku roti dan menghulurkan beberapa keping not satu riyal kepada wanita separuh abad tersebut. Karen segera menolak baki yang ingin wanita itu hulurkan sambil melemparkan seulas senyuman ikhlas kepada gadis kecil yang cuba bersembunyi disebalik ibunya karana malu sebelum berlalu dari situ.

Setelah beberapa langkah dia meninggalkan gerai tersebut, bajunya ditarik dari belakang. Apabila ditoleh, rupa-rupanya gadis kecil tadi yang menariknya sambil menghulurkan beberapa buku roti lagi. Karen mengalih pandangannya kepada wanita separuh abad tersebut yang tersenyum sambil manghanggukkan kepala.

Dengan senang hati Karen menerima hadiah tersebut dan memberikan ciuman di pipi gadis kecil itu. Geli hatinya melihat gadis kecil tersebut yang berlari mendapatkan ibunya setelah merasa malu. Karen terus melangkah bersama pengalaman manis pada pagi itu. Padanya, orang Islam memang murah hati.Setelah urusan mereka selesai, mereka segera pulang kerana masih banyak kerja yang menanti.

Di tengah-tengah perjalanan, mereka mendapat laporan bahawa pekan Raudhah yang mereka lawati tadi telah diserang oleh Zionis melalui udara. Mereka terpaksa berpatah balik untuk memberi bantuan sekadar termampu sementara menunggu bantuan yang baru bertolak dari kem.

Suasana di pekan Raudhah benar-benar berubah berbanding sebentar tadi. Kini yang tinggal hanya runtuhan bangunan yang terbakar dan cebisan-cebisan daging manusia memenuhi pekan tersebut.

Karen dan Sumaiyah segera menuju ka arah gerai roti yang mereka singgah sebentar tadi. Mereka tidak melihat sebarang kelibat manusia melainkan roti-roti yang bertaburan di tanah. Karen cuba meninjau di sekeliling kalau-kalau ada yang terselamat namun akhirnya dia terlihat sehelai selendang yang dipenuhi dengan tompokan darah dan dia pasti siapa pemilik selendang tersebut kalau bukan gadis kecil yang dihadiahinya sebuah ciuman tadi.

Karen tidak dapat menahan kesedihan lalu menitiskan air mata sehingga terperosok ke tanah. Sumaiyah sedaya memangkunya yang sudah pun terkulai menahan sebak. Sumaiyah dapat menangkap kata-kata Karen walaupun bernada lemah.

“ Islamkan aku. Islamkan aku.”

Islam itu indah jika kita tahu menilainya. Dalam kemelut, Karen mendapat hidayah Allah.

Firman Allah SWT :

“Katakanlah: Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam buana. Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau suka. Engkau merampas kekuasaan itu daripada sesiapa sahaja yang Engkau mahu. Engkau berkuasa memualiakan dan menghinakan sesiapa yang Engkau mahu. Di tangan-Mu (Ya Allah) segala kebaikan dan kekayaan. Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja.”


( Maaf...Cerpen yang banyak kelemahan dari sudut bahasa dan pengolahan...haha )

Labels: edit post
2 Responses
  1. Assalamualaikum

    Saudaraku,

    Berdiri bulu romaku ketika membaca pada perenggan di saat Karen mengucapkan "Islamkan aku. Islamkan aku."

    Terima kasih di atas nukilan ini.

    JazakAllahukhair.

    Assalamualaikum


  2. fahdin Says:

    terima kasih.masih banyak yang perlu dipelajari. Maklumlah baru nak merangkak dalam dunia penulisan nih. berjalan pun belum pandai lagi. Apapun doakan kejayaan saya.


Post a Comment