Ini kisah benar. Kisah yang disampaikan oleh pensyarahku pagi tadi. Kisah pengalamannya. Pengalamannya ketika menjadi guru. Pengalamannya yang ingin dikongsi. Pengalaman yang bermakna. pengalaman yang tidak ingin diulangi oleh mereke yang mendengarnya. Guru dan bakal guru yang mendengarnya.
Ketika dia mengajar beberapa tahun dahulu, dia sering menghadapi seorang pelajar yang agak bermasalah. Pelajar ini tidak nakal, tidak pula mengganggu kawan. Jauh sekali merosakkan harta benda sekolah. Cuma masalah pelajar ini adalah sering lewat ke sekolah.
Sudah beberapa kali cikgu menasihatinya namu dia tetap lewat ke sekolah yang bermula pada pukul 1 tengah hari. Sesekali perasaan geram turut menyelubungi hati cikgu yang saban waktu bersabar dengan sikap pelajarnya ini. Nak kata suka melawan, pelajar ini hanya diam dan terus mendengar leteran gurunya hampir setiap hari. Namun seperti biasa dia akan tetap lewat ke sekolah.
Lama kelamaan kesabaran cikgu semakin berkurang dan terus hilang. Maka pelajar tersebut dirotan beberapa kali ( kalau sekarang, tentu cikgu sudah turun naik mahkamah). Hukuman ini dengan harapan supaya pelajar tersebut tidak mengulanginya lagi.
Namun keesokan harinya pelajar tersebut tetap lewat hadir ke sekolah. Akhirnya cikgu mengambil keputusan untuk menyiasat sendiri sebab musabab kelewatan pelajar tersebut untuk hadir ke sekolah.
Setelah sekian lama siasatan dijlankan, perasaan bersalah mula menguasai sanubari cikgu tersebut. Betapa sebelum ini dia merasakan bahawa dia adaalh guru yang baik dan bertanggungjawab dengan kelewatan pelajarnya ke sekolah. Namun hakikatnya percaturannya itu jauh tersasar daripada apa yang patut ada pada setiap orang guru .... cuba untuk mengerti.
Pelajar tersebut berasal dari keluarga yang miskin. Dia terpaksa menuggu abangnya yang bersekolah sesi pagi pulang barulah dia dapat hadir ke sekolah kerana baju sekolah yang dipakainya adalah perkongsian antaranya dan abangnya. Maka dia tidak mampu untuk mengatasi masalah kelewatannya ke sekolah.
Sejenak : Aku mula memikirkan sesuatu yang perlu ada pada seorang guru setelah mendengar kisah ini. Guru: cubalah untuk mengerti. Guru tidak seharusnya menghukum pelajar yang bersalah sebaliknya guru seharusnya mengenalpasti terlebih dahulu punca kesalahan pelajar tersebut. Jika aku berada di tempat pelajar tersebut sudah tentu aku akan berasa kecewa dengan tindakan guruku sebegitu. Maka sebagai bakal guru, aku perlu belajar dari pengalaman orang lain ini supaya tidak berlaku kepada murid-muridku yang berpunca dari kesilapanku.
Post a Comment