Kasih Bertaut

fahdin



Perjalanan ini sungguh memenatkan. Apa tidaknya,makin ke hujung semakin sukar. Sedangkan beban bertambah berat. Tanggungjawab semakin sarat. Tetapi apakah ada pilihan lain selain meneruskannya? Hidup selagi hidup. Jangan mati sebelum mati. Sering diri diperingatkan, kalau ada masalah di tengah jalan…. teruskan perjalanan. Apabila yakin tujuan dan matlamat tidak sesat,soal kembali ke pangkal jalan tidak timbul. Ini jalan paling benar, walaupun jalan yang paling sukar. Inilah jalan yang paling singkat, walaupun terasa amat berat.



Hidup tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu. Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu dilorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang lebih baik. Nafas dan aliran adalah modal untuk ibadah. Susah dan payah adalah baja yang membina kematangan jatuh bangun diri menuju Allah. Sabar dan syukur adalah minyak pada pelita hidup yang meliuk lentuk dipukul badai kehidupan.



Tidak gusar bersendirian. Tidak tersasar ketika kesunyian. Katakan pada diri, ketika sepi sendiri, di sisimu sentiasa ada PEMERHATI. Dalam sekolah kehidupan, sentiasa ada pelajaran yang mesti ditempuhi. Sesetengah ilmu tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Tidak ada guru tertentu, tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepenuh waktu. Jika datang topeng kepura-puraan, itulah guru yang mengajar kau erti berhati-hati. Jika mampir bejana kejujuran, kau teguklah ilmu keikhlasan.



Jangan berubah pendirian,walau beralih pendekatan. Jadilah wajah yang satu di hadapan yang SATU. Jadilah dirimu sendiri…. Insya-Allah kau akan sentiasa menjadi juara. Tetapi kau berlakon, kau bertukar menjadi klon yang kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan bermuka-muka hanya untuk menempa nama. Jangan berdiri di bawah teduh bayang-bayang orang lain hanya untuk digelar berjasa.



Bertatih dengan kaki sendiri lebih mulia daripada bersayap emas milik orang lain. Jadilah raja dalam kerajaan diri yang menghirup udara kebebasan dengan kemerdekaan sejati. Mendongak tidak bongkak, mengalah tidak kalah. Tidak ada istilah kalah, Cuma kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan masa lampau setelah diperah segala pengajaran dan iktibar. Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan kini. Menyesal itu bebal, Kesal itu bekal.



Hidup seperti orang yang bersedia untuk mati. Insya-Allah, nanti kau akan terus hidup walaupun sesudah mati. Ingatkan diri selalu, bahawa hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya Hari Akhirat. Sesungguhnya, hidup sebelum mati ini adalah bekal untuk hidup selepas mati. Katakan pada diri, hidup bukan sekali. Jadi, hiduplah selagi hidup…. Kerana hidup ini hakikatnya untuk HIDUP !






Renungan ini : Kiriman Ibtisam Nur melalui emailnya untuk perkongian bersama
Labels: edit post
0 Responses

Post a Comment